JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TUMPASKAN SINDIKET CURI BEKALAN ELEKTRIK UNTUK LOMBONG BITCOIN

01/05/2025 12:32 PM

KUALA TERENGGANU, 1 Mei (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri bekalan elektrik bagi tujuan perlombongan bitcoin menerusi Op Letrik yang dijalankan di daerah Hulu Terengganu dan Marang, semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama juruteknik daripada pasukan Special Engagement Against Losses (SEAL) Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata serbuan di dua premis iaitu di Bukit Perpat, Hulu Terengganu dan Wakaf Tapai, Marang telah menemukan 45 mesin melombong bitcoin yang dianggar bernilai RM225,000.

"Serbuan menyasarkan kawasan perumahan dan rumah kedai di daerah Marang dan Hulu Terengganu yang disyaki dijadikan sebagai lokasi mencuri elektrik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Selain mesin bitcoin, polis turut merampas pelbagai peralatan lain yang digunakan untuk aktiviti tersebut. Tindakan mencuri elektrik ini menyebabkan TNB mengalami kerugian kira-kira RM36,000 sebulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Khairi berkata tiada tangkapan dibuat dalam kedua-dua serbuan berkenaan dan kesemua barang rampasan dibawa ke ibu pejabat polis kedua-dua daerah.

Menurut beliau kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 yang boleh dihukum penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya, selain denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak sesekali terlibat dalam kegiatan mencuri arus elektrik sama ada untuk kegunaan sendiri atau tujuan komersil seperti perlombongan bitcoin haram kerana bakal dikenakan hukuman berat.

"Orang ramai juga diminta melaporkan kepada polis mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di tempat masing-masing," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan