EKONOMI

REACH TEN SASAR TINGKAT PRASARANA GENTIAN OPTIK KEPADA 767 KILOMETER DALAM TIGA TAHUN

02/05/2025 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan telekomunikasi berpangkalan di Sarawak, Reach Ten Holdings Bhd (Reach Ten) menyasarkan untuk memanfaatkan hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi meningkatkan infrastruktur saluran gentian optiknya kepada 767 kilometer di Sibu, Miri dan Bintulu dalam tempoh tiga tahun.

Pengarah Urusan Leo Chin berkata setakat hari ini, syarikat itu telah membina infrastruktur itu melebihi 200 kilometer di Kuching dan Samarahan.

“Kami akan memperluaskannya ke Sibu, Miri dan Bintulu dalam tempoh tiga tahun melibatkan tambahan 550 kilometer menggunakan wang daripada IPO itu,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini, hari ini.

Chin berkata syarikat itu juga menyasarkan segmen rangkaian komunikasi dan perkhidmatan berasaskan satelitnya akan kekal menjadi penyumbang utama kepada perolehan hasil walapun terdapat potensi pertumbuhan bagi segmen komunikasi gentian optiknya.

Beliau berkata atas faktor kawasan daratan Sarawak yag luas serta bentuk muka buminya yang mencabar, perkhidmatan satelit kekal menjadi pilihan dalam penyampaian kesalinghubungan untuk dinikmati komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan berkenaan.

“Ramai orang menganggap satelit sebagai industri yang sedang susut, namun jika dilihat pada skala global, pertumbuhannya masih optimis dengan pelaburan signifikan terus diterima sektor itu.

“Kami tidak menjangkakan perubahan besar dalam sumbangan hasil atau nisbah daripada yang dilihat hari ini, namun perubahan itu mungkin dapat dilihat dalam tempoh tiga tahun hingga lima tahun,” katanya.

Reach Ten mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini dan dibuka mendatar pada 52 sen dengan 7.26 juta saham saling didagangkan.

Menerusi IPO itu, Reach Ten berjaya meraih RM104.0 juta dengan RM60.0 juta (57.7 peratus) akan dimanfaatkan bagi mengembangkan infrastruktur rangkaian komunikasi gentian optik sedia ada di Kuching serta membina tiga infrastruktur baharu masing-masing di Miri, Sibu dan Bintulu.

Dalam kenyataan media berasingan, Reach Ten berkata sebanyak RM25.0 juta (24.0 peratus) akan digunakan untuk membina 100 menara telekomunikasi tambahan 4G dan/atau 5G di seluruh Sarawak, khususnya di Miri, Sibu dan Bintulu bagi menyokong inisiatif kerajaan negeri dalam memperluaskan liputan internet.

“Sebahagian daripada hasil berjumlah RM4.3 juta (4.1 peratus) akan digunakan untuk meningkatkan rangkaian komunikasi berasaskan satelit melalui pemerolehan terminal satelit mudah alih dan tetap, perkakasan, perisian serta penambahbaikan kemudahan teleport. 

“Baki hasil akan digunakan untuk keperluan modal kerja berjumlah RM5.0 juta (4.8 peratus), RM1.7 juta (1.6 peratus) untuk membayar balik pinjaman bank manakala RM8.0 juta (7.7 peratus) untuk membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian,” katanya.

Pada 5 petang, Reach Ten mengakhiri hari dagangan pertamanya pada 54 sen, naik dua sen daripada harga terbitan 52 sen selain muncul saham paling aktif dengan 133.89 juta saham saling berpindah tangan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan