KOTA KINABALU, 1 Mei (Bernama) -- Pakar pemuliharaan gajah Malaysia, Dr Nurzhafarina Othman, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Whitley 2025 yang berprestij oleh Whitley Fund for Nature (WFN) yang berpangkalan di United Kingdom, sebagai pengiktirafan terhadap usaha gigihnya melindungi spesies gajah Borneo di Sabah.
Nurzhafarina, pengasas dan pengarah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Seratu Aatai (membawa maksud 'bersatu hati’), dan merangkap pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), menerima anugerah bernilai £50,000 (kira-kira RM287,000) itu daripada penaung WFN Puteri Anne di Royal Geographical Society, London, malam tadi.
Menurut kenyataan Whitley Fund for Nature, anugerah itu diberikan bagi menyokong usaha beliau melindungi kira-kira 300 ekor gajah Borneo yang masih wujud di pantai timur Sabah, kawasan yang kini menyaksikan peningkatan konflik antara manusia dan gajah akibat penyusutan habitat.
Anugerah itu juga mengiktiraf pendekatan inovatif beliau melibatkan pihak berkepentingan dalam industri sawit di kawasan Lower Kinabatangan untuk melaksanakan amalan mesra gajah serta mewujudkan rangkaian koridor perlindungan bagi spesies gajah terkecil di dunia.
Menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), gajah Borneo telah kehilangan 60 peratus habitat hutannya dalam tempoh empat dekad lalu akibat aktiviti pembalakan dan penanaman kelapa sawit. Spesies itu telah disenaraikan sebagai Terancam dalam Senarai Merah IUCN sejak tahun lepas.
Projek Nurzhafarina memfokuskan kepada kerjasama dengan syarikat perladangan kelapa sawit besar dan pekebun kecil di kawasan Lower Kinabatangan, di mana 40 peratus tanah dimiliki oleh 11 syarikat utama, manakala kira-kira 150 pekebun kecil bebas turut beroperasi di kawasan tersebut.
Inisiatif ini merangkumi program sains warganegara, pelaksanaan amalan terbaik untuk penyambungan habitat, dan sumbangan kepada Cadangan Rizab Biosfera Kinabatangan.
Menurut kenyataan itu, Seratu Aatai yang ditubuhkan pada 2018 kini merupakan satu-satunya organisasi pemuliharaan di Sabah yang dikhususkan sepenuhnya untuk perlindungan gajah Borneo.
Projek ini turut memberi manfaat kepada spesies terancam lain di kawasan tersebut termasuk orang utan, harimau dahan Sunda dan beruang matahari.
Nurzhafarina merupakan antara enam penerima Anugerah Whitley 2025 dari seluruh dunia. Sejak diperkenalkan pada 1993, Whitley Fund for Nature telah menyalurkan dana berjumlah £24 juta kepada 220 pakar pemuliharaan di 80 negara.
Penerima lain ialah Dr Yara Barros dari Brazil, yang melindungi jaguar dengan mendidik komuniti supaya hidup harmoni bersama pemangsa utama itu di Taman Negara Iguaçu di Hutan Atlantik, Dr Andrés Link dari Colombia, yang melindungi monyet labah-labah di hutan hujan tanah rendah tengah Colombia dan
Penerima lain termasuk Dr Yara Barros dari Brazil, yang melindungi jaguar dengan mendidik komuniti agar hidup harmoni bersama pemangsa utama itu di Taman Negara Iguaçu di Hutan Atlantik, serta Dr Andrés Link dari Colombia, yang berusaha memelihara spesies monyet labah-labah di hutan hujan tanah rendah di tengah Colombia dan memulihkan habitat yang terfragmentasi melalui rangkaian kawasan perlindungan persendirian.
Dr Federico Kacoliris dari Argentina, yang memperluas perlindungan bagi spesies amfibia paling terancam di negara itu, katak sungai El Rincón, dan habitat sungainya di Dataran Tinggi Somuncura yang bersifat gunung berapi, Reshu Bashyal dari Nepal, yang menangani perdagangan haram orkid dan pokok cemara yew yang semakin pupus akibat permintaan tinggi untuk kegunaan perubatan dan hiasan.
Rahayu Oktaviani dari Indonesia, yang memastikan kesinambungan kanopi hutan untuk spesies siamang Jawa yang terancam di pulau paling padat penduduk di dunia itu.
-- BERNAMA