KUALA TERENGGANU, 1 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan sebuah kapal nelayan tempatan yang menggaji kru warga asing tanpa dokumen sah di kedudukan 23 batu nautika dari perairan muara Kuala Terengganu, semalam.
Pengarahnya Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata pemeriksaan oleh anggota yang melakukan rondaan harian terhadap kapal berkenaan menemukan empat kru lelaki termasuk tekong warga Myanmar berumur antara 38 hingga 48 tahun dengan tiga daripadanya tidak mempunyai dokumen yang sah.
“Kru berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963 dalam kejadian 2 petang itu.
“Kesemua mereka termasuk kapal berkenaan dibawa masuk ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamiludin mengingatkan pengusaha bot nelayan untuk tidak menggaji kru asing yang tidak memiliki dokumen sah kerana APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim Malaysia.
--BERNAMA