KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat berikutan pelabur kembali selepas cuti dengan minat yang berkurangan, mengabaikan kenaikan semalaman di Wall Street yang didorong oleh pendapatan kukuh daripada Microsoft dan Meta.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.94 mata kepada 1,535.28 daripada 1,540.22 pada Rabu.
Bursa ditutup pada Khamis sempena cuti Hari Pekerja.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.80 mata kepada 1,537.42.
Suasana pasaran negatif dengan 129 kaunter rugi mengatasi 122 kaunter untung. Sejumlah 259 kaunter tidak berubah, 1,834 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan, Wall Street meneruskan kenaikannya pada Khamis, disokong oleh prestasi suku tahunan yang kukuh daripada Microsoft dan Meta, mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap pertumbuhan yang dipacu oleh AI.
“Microsoft melonjak lebih tujuh peratus selepas memberikan panduan yang lebih kukuh untuk perkhidmatan awan manakala Meta meningkat lebih empat peratus selepas menaikkan unjuran perbelanjaan modal pada 2025 untuk menyokong pelaburan dalam AI.
“Bagaimanapun, niaga hadapan Wall Street diniagakan rendah berikutan pasaran menilai laporan pendapatan daripada Apple dan Amazon,” katanya.
Firma broker itu menjangka petunjuk pasaran tempatan terus disokong dalam masa terdekat, diperkukuh oleh aliran masuk dana asing selama enam hari berturut-turut.
Dari aspek ekonomi, peniaga menantikan data senarai gaji bukan ladang dan kadar pengangguran AS bagi April yang akan diumumkan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare dan Petronas Dagangan, masing-masing merosot dua sen kepada RM6.90 dan RM19.72 serta Press Metal Aluminium susut tiga sen kepada RM4.87. Hong Leong Financial Group dan Telekom Malaysia, masing-masing mendatar pada RM17.18 dan RM6.80.
Dalam dagangan aktif, KNM Group berkurangan setengah sen kepada 3.5 sen manakala Jiakun International dan Reach Ten Holdings, masing-masing tidak berubah pada tiga sen dan 52 sen. Salutica menambah satu sen dan Eco World International meningkat empat sen kepada 25.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 25.26 mata kepada 11,382.52, Indeks FBMT 100 berkurangan 28.41 mata kepada 11,156.03 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 16.59 mata kepada 11,257.70.
Indeks FBM 70 jatuh 10.63 mata kepada 15,934.74 dan Indeks FBM ACE berkurangan 12.94 mata kepada 4,615.72.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 52.93 mata kepada 18,181.67, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.58 mata kepada 150.90, Indeks Tenaga menurun 3.72 mata kepada 684.42 dan Indeks Perladangan susut 4.59 mata kepada 7,252.83.
-- BERNAMA