AM

PDA 1974 BERI HAK EKSKLUSIF KEPADA PETRONAS BEROPERASI DI SARAWAK

02/05/2025 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Dakwaan kerajaan negeri Sarawak bahawa Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) beroperasi secara haram di Miri Crude Oil Terminal disifatkan sebagai tidak berasas serta bercanggah dengan fakta perundangan.

Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dengan jelas memberikan hak eksklusif kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengawal selia semua aktiviti berkaitan petroleum di Malaysia, termasuk di Sarawak.

“Berdasarkan fakta ini, Petronas tidak sepatutnya memerlukan sebarang lesen atau permit daripada kerajaan negeri Sarawak untuk menjalankan operasi membabitkan petroleum di negeri itu,” menurut kenyataan Armada.

Petronas hari ini mengesahkan kepada Bernama bahawa anak syarikatnya, PCSB, menerima notis daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak pada Rabu lalu, berkaitan pemprosesan dan pengedaran gas.

Syarikat minyak negara itu memberitahu Bernama bahawa PCSB diberi kuasa mengikut undang-undang di bawah PDA 1974 untuk menjalankan aktivitinya serta mematuhi semua undang-undang yang terpakai.

“Meskipun kita menghormati aspirasi negeri Sarawak, Petronas juga mempunyai kewajipan untuk menegakkan PDA 1974 ini dan menjaga kepentingan negara.

“Petronas akan terus terlibat secara konstruktif dan bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dalam meneroka pengaturan masa depan bagi memastikan kejelasan peraturan dan kesinambungan operasi demi manfaat industri, negeri dan negara secara keseluruhannya,” menurut syarikat itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan