SHAH ALAM, 2 Mei (Bernama) -- Koperasi Tabung Haji Berhad (KTHB) meneroka sektor digital patuh syariah menerusi pelancaran platform e-dagang gaya hidup Muslim berteraskan ekosistem halal dikenali sebagai Haqqi Mall.
Timbalan Pengerusi KTHB Nazif Md Arif berkata platform tersebut tidak terhad kepada penjualan makanan tetapi turut menghimpunkan pelbagai jenis produk termasuk pakaian, produk kesihatan, perkhidmatan kejuruteraan, pendidikan serta konsultasi berkaitan halal.
"Haqqi Mall menjanjikan pengalaman beli-belah dalam talian atau fizikal dengan mudah, selamat, patuh syariah dan berintegriti kerana setiap vendor yang terlibat telah menjalani pematuhan prosedur operasi standard (SOP) halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Bagi menjamin dan ketelusan status halal, Haqqi Mall secara terbuka memberi kerjasama kepada pengguna untuk mengesahkan pensijilan halal mana-mana produk di dalam senarai jualan sedia ada," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Nazif berkata platform berkenaan turut memberi fokus kepada pemerkasaan jenama tempatan khususnya membabitkan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi membuka peluang meluaskan pasaran masing-masing.
"KTHB menyasarkan 300 vendor dalam kalangan pengusaha IKS untuk mengambil bahagian pada masa terdekat ini, tidak termasuk membuka peluang kepada 1,100 ahli KTHB melebarkan sayap perniagaan mereka secara progresif dan berdaya saing.
"Dengan kerjasama Bahagian Hab Halal JAKIM dan Serunai Commerce, kesemua vendor terpilih atau berpotensi ini akan menerima nasihat dan bantuan mendapatkan sijil halal sebelum dimasukkan ke dalam senarai Haqqi Mall," katanya.
Nazif berkata Haqqi Mall juga berperanan mendidik masyarakat yang sebelum ini sering terlepas pandang mengenai status halal membabitkan produk bukan makanan dan minuman.
Beliau berkata orang bukan Islam di Malaysia kini turut menggunakan produk yang diyakini halal dan Haqqi Mall sedia menerima kunjungan mereka kerana kemaslahatan halal tidak terhad kepada orang Islam sahaja.
Terdahulu, Nazif melancarkan Laman Sesawang Haqqi Mall di SSF Home Garden Outlet di Glenmarie, Shah Alam di sini hari ini.
Haqqi Mall merupakan sebuah platform perniagaan e-dagang yang dibangunkan untuk memperkasa ekonomi usahawan khususnya dalam kalangan komuniti Muslim menerusi konsep peruncitan moden dan patuh syariah.
--BERNAMA