KOTA BHARU, 3 Mei (Bernama) -- Sebanyak 165 saman dikeluarkan manakala 25 motosikal disita dalam satu operasi khas yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sekitar kawasan Merkang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata operasi bersepadu yang bermula pada 6.30 petang itu melibatkan tiga pegawai kanan polis dan 20 anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Jenayah serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Puteh.
“Sebanyak 165 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu serta pengubahsuaian struktur kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Selain itu, sebanyak 25 motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata saringan rekod jenayah dan ujian air kencing turut dijalankan terhadap individu yang ditahan dalam operasi terbabit dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.
Zaizul Rizal berkata polis akan terus melaksanakan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa di beberapa kawasan panas (hotspot) bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan perlumbaan haram di daerah ini.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti menunggang motosikal secara berbahaya serta sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
-- BERNAMA