Oleh Naveen Prabu Kuppusamy
KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Kosovo, negara Balkan yang dikelilingi daratan, mempelawa pelaburan dari Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), tenaga boleh baharu serta pembuatan, kata Presidennya Dr Vjosa Osmani Sadriu.
Beliau berkata walaupun saiz Kosovo yang kecil, antara kelebihan yang ditawarkan untuk menarik pelaburan Malaysia termasuklah akses kepada jumlah pengguna melebihi 600 juta orang berdasarkan perjanjian perdagangan bebas negara itu dengan seluruh benua Eropah.
"Ini bermakna pelaburan di Kosovo menawarkan peluang yang sama seperti melabur di seluruh Eropah," katanya yang merujuk kepada usaha Kosovo untuk menyatukan ekonominya melalui pelaburan langsung asing (FDI) dan membina semula sektor perindustrian dan pembuatannya yang agak berselerak.
"Dengan kemudahan menjalankan perniagaan, Kosovo mempunyai penduduk termuda di Eropah yang berbilang bahasa dan celik teknologi, selain kos buruh jauh lebih rendah berbanding negara Eropah lain," katanya menerusi satu temu bual bersama Bernama.
Kelebihan ini ditambah dengan pelbagai insentif bagi FDI menawarkan potensi besar kepada perniagaan Malaysia, kata Presiden Osmani yang sedang dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari ke Malaysia.
Semasa lawatannya, beliau bertemu dengan wakil dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) untuk membincangkan peluang pelaburan yang ditawarkan Kosovo kepada perniagaan Malaysia.
Walaupun tiada perjanjian ditandatangani semasa pertemuan itu, perbincangan berjalan lancar dan mencapai kemajuan, katanya.
Beliau berkata langkah pertama adalah mengadakan forum ekonomi bersama dengan perniagaan dari Kosovo dan Malaysia untuk membantu mengenal pasti bidang utama bagi perjanjian perdagangan pada masa depan.
“Pasukan kami sedang giat membincangkan bidang kerjasama yang berpotensi dan saya berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melawat negara kami tidak lama lagi untuk membantu memuktamadkan perjanjian ini,” katanya.
Osmani berkata beliau berharapkan perkhidmatan penerbangan terus antara ibu kota Kosovia, Pristina dan Kuala Lumpur pada masa depan yang akan memudahkan komunikasi dan perjalanan antara kedua-dua negara itu, yang menjalin hubungan diplomatik pada 2011.
“Malah sekarang, sambungan (penerbangan) agak baik, kebanyakannya melalui Istanbul dengan laluan harian lain juga tersedia. Bagaimanapun, penerbangan terus selalunya adalah cara yang lebih mudah untuk meningkatkan komunikasi dan perjalanan," katanya.
Presiden Kosovo itu tiba Malaysia pada Khamis, lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan pada 4 April, 2021.
Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Okt 2008, menjadi antara negara Asia pertama yang berbuat demikian, dengan hubungan diplomatik rasmi dijalin pada 18 Mac 2011.
Osmani juga mengetengahkan tarikan pakej pelancongan serantau yang termasuk Kosovo, Albania dan Montenegro, yang semakin popular dalam kalangan pelancong ASEAN.
Beliau berkata Kosovo sedang merancang untuk meningkatkan eksportnya di peringkat global, termasuk ke Malaysia, khususnya dalam sektor ICT.
“Sudah tentu, Eropah telah menjadi hab utama untuk eksport kami setakat ini, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, eksport telah meningkat empat kali ganda ke Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.
“Perniagaan kami kini sedang mencari pasaran baharu untuk mengeksport produk mereka, dan saya percaya apabila forum ekonomi bersama diadakan dan perniagaan mula melibat urus antara satu sama lain, mereka akan dapat mengenal pasti keperluan yang diperlukan,” katanya.
Osmani berkata selain ICT Kosovo juga sedang berusaha untuk mengembangkan eksport ke Malaysia, khususnya dalam sektor makanan dan tenaga.
"Perniagaan kami sudahpun mengeksport ke Eropah, AS dan Afrika. Kami melihat Malaysia dan rantau ASEAN sebagai pasaran baharu yang penting," katanya.
Tahun lepas, perdagangan antara Malaysia dan Kosovo berjumlah RM28.55 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM25.92 juta dan import RM2.63 juta.
-- BERNAMA