AM

PM ANWAR KONGSI VIDEO LAWATAN PRESIDEN KOSOVO DI MALAYSIA

03/05/2025 11:12 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi klip video memaparkan lawatan rasmi Presiden Kosovo Dr Vjosa Osmani Sadriu ke Malaysia bermula Khamis lepas.

Menerusi hantaran di Facebook, video berdurasi tiga minit 10 saat itu antara lain memaparkan Osmani memeriksa kawalan kehormatan oleh pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) ketika diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra diikuti pertemuan dua hala dengan Anwar.

 Turut dipaparkan penganugerahan Order of Independence, anugerah awam tertinggi Kosovo, kepada Anwar oleh presiden Osmani.

Menerusi catatan pada hantaran video itu, Anwar berkata kunjungan tamu kenegaraan Presiden Republik Kosovo dan delegasi ke Malaysia itu mencerminkan semangat persahabatan dan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara kedua-dua negara.

“Moga lawatan ini membuka lebih banyak peluang strategik antara kedua-dua negara lantas memperkukuh ikatan persahabatan dan membuka lembaran baharu dalam kerjasama Malaysia-Kosovo,” katanya.

Osmani dan delegasinya tiba di Malaysia pada 1 Mei lepas untuk lawatan rasmi empat hari.

Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Okt 2008, menjadikannya antara negara Asia terawal berbuat demikian. Hubungan diplomatik kedua-dua negara dimeterai pada 18 Mac 2011.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan