GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang menyasarkan penjimatan air domestik kepada 250 liter/kapita/sehari (LKH) tahun ini iaitu pengurangan 11 LKH berbanding 261 LKH yang direkodkan tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K. Pathmanathan berkata walaupun sasaran itu dilihat seperti satu langkah kecil tetapi ia boleh membawa pulangan besar dari segi kecukupan dan keselamatan bekalan air pada masa depan.
“Ini kerana jika 1.8 juta rakyat Pulau Pinang menggunakan 11 LKH kurang air di rumah, jumlah penjimatan air yang terkumpul akan mencecah 19.8 juta liter sehari (JLH) tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia di Empangan Air Itam di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan turut dihadiri Presiden Water Watch Penang Prof Emeritus Datuk Dr Chan Ngai Weng.
Pathmanathan berkata penjimatan domestik sebanyak 19.8 JLH itu juga dijangka dapat mengurangkan jumlah penggunaan air keseluruhan di negeri itu kira-kira 2.3 peratus iaitu kira-kira 850 JLH berbanding 870 JLH tahun lepas.
Beliau berkata penggunaan air domestik pada tahun lepas juga membentuk kira-kira 54 peratus daripada jumlah penggunaan air di Pulau Pinang dan sekiranya rakyat negeri itu dapat menggunakan air secara berhemah, ia secara tidak langsung membantu menstabilkan bekalan selain mengurangkan isu air terputus di kawasan hujung paip agihan (HPA) dan kawasan tanah tinggi di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Daerah Barat Daya .
“Selain itu, ia juga dapat membantu PBAPP mengharungi musim kemarau yang berpanjangan dan El Nino dengan risiko krisis air yang lebih rendah,” katanya.
Sementara itu, Pathmanathan berkata perubahan iklim turut menjejaskan operasi bekalan air di Pulau Pinang dengan Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam menunjukkan penurunan kapasiti efektif masing-masing 13.1 dan 22.6 peratus sejak 1 Januari lepas yang disebabkan oleh taburan hujan rendah.
Beliau berkata walaupun Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam dibina untuk diisi semula oleh hujan di kawasan tadahan air (KTA) namun pengurangan hujan yang ketara ditambah fenomena El Nino berpanjangan telah menjejaskan pengisian semula kedua-dua empangan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebaliknya, beliau berkata Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) pula direka bentuk dan dibina untuk diisi semula terutamanya melalui air yang dipam daripada Sungai Kulim.
“PBAPP sedang giat melaksanakan projek-projek bernilai lebih daripada RM1 bilion di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) bagi memastikan kapasiti bekalan air yang mencukupi untuk Pulau Pinang menjelang 2030.
“Sehubungan itu, kita harap pengguna air domestik dapat menjimatkan penggunaan air bagi mengurangkan risiko air Pulau Pinang sehingga 2030 seterusnya memastikan bekalan air yang adil dan saksama di seluruh negeri dan menyokong visi Penang2030,” katanya.
-- BERNAMA