AM

SARINGAN KESIHATAN PARU-PARU GUNA AI, TINGKAT PENGESANAN PENYAKIT PERINGKAT AWAL - DR DZULKEFLY

04/05/2025 01:13 PM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan inisiatif saringan kesihatan paru-paru menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), dalam usaha mengesan penyakit berkaitan paru-paru dalam kalangan rakyat Malaysia di peringkat awal.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu antara usaha utama dalam Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025-2030, diperkenalkan KKM sebagai usaha memperkukuh aktiviti pencegahan, saringan dan rawatan penyakit tersebut.

Beliau berkata penggunaan teknologi AI dalam saringan, dilihat memberikan impak keberkesanan dan ketepatan yang lebih tinggi berbanding saringan menggunakan X-ray.

“Dengan keupayaan AI ini, maka peratus ataupun incident detection kita adalah lebih baik,” katanya pada sesi taklimat media berhubung Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025 - 2030, di sini hari ini.

Dzulkefly berkata saringan kesihatan paru-paru menggunakan teknologi AI ini, dilaksanakan kepada golongan sasar di tujuh buah klinik kesihatan (KK) seluruh negara, dengan kos pengaplikasian teknologi itu berpatutan.

Antara klinik kesihatan yang menawarkan saringan kesihatan paru-paru menggunakan teknologi AI ialah di KK Kok Lanas, KK Kajang, KK Beserah, KK Seberang Perai dan KK Pendang.

“Kita akan dapat pulangan pelaburan iaitu pulangan pelaburan kita yang tidak banyak sangat iaitu RM70,000 untuk tujuh klinik dan itu sangat berbaloi kerana jangkitan itu kita dapat kesan awal,” katanya. 

Dzulkefly berkata Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan merupakan satu pendekatan baharu, kerana ia menggabungkan kawalan kedua-dua penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta faktor risiko.

“Penyakit paru-paru di Malaysia merangkumi kedua-dua penyakit tidak berjangkit dan penyakit berjangkit. Ini termasuk kanser paru-paru, Penyakit Penghalang Pulmonari Kronis (COPD), asma dan jangkitan saluran pernafasan seperti pneumonia, tuberkulosis, COVID-19, dan influenza,” katanya.

Beliau berkata inisiatif baharu itu juga akan memberi tumpuan kepada faktor risiko utama termasuk merokok, pendedahan kepada pencemaran di alam sekitar dan pendedahan kepada faktor pekerjaan di tempat kerja.

“Integrasi ini akan menggabungkan usaha secara holistik melibatkan pelbagai sektor termasuk kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan badan profesional.

“Saya ingin menegaskan bahawa kesihatan paru-paru merupakan aspek penting dalam kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan