PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Malaysia akan mengemukakan resolusi Inisiatif Kesihatan Paru-Paru ke peringkat global melalui Perhimpunan Kesihatan Kebangsaan ke-78 di Geneva, Switzerland pada bulan ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Malaysia kini mendapat sokongan daripada 14 negara, antaranya Rusia dan China.
“Kita membuat keterlibatan dengan mereka dan negara sebesar Rusia dan China juga bersama kami dalam resolusi itu. Apabila mereka lihat pada hala tuju kami … mereka terpanggil untuk bersama Malaysia,” katanya pada sesi taklimat media berhubung Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025-2030 di sini hari ini.
Malaysia memperkenalkan inisiatif berkenaan untuk memperkukuh aktiviti berkaitan pencegahan, saringan, rawatan dan kawalan penyakit berkaitan paru-paru.
Antara usaha di bawah inisiaitif itu ialah kempen kesedaran awam yang meluas mengenai bahaya merokok dan asap rokok terpakai serta program saringan yang dipertingkatkan dengan teknologi kecerdasan buatan (Al).
Beliau berharap resolusi dikemuka oleh Malaysia itu akan mendapat sokongan meluas pada WHA kali ini yang akan diadakan bermula 19 hingga 27 Mei.
-- BERNAMA