AM

KERAJAAN PERUNTUK RM10 JUTA BAGI PROJEK EKONOMI MADANI DALAM KEM TENTERA

04/05/2025 05:58 PM

TAWAU, 4 Mei (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi menjayakan Program Kem MADANI dalam kem tentera di seluruh Malaysia pada tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya telah mencadangkan kepada kerajaan supaya anggota tentera tidak terkecuali daripada mendapat manfaat daripada projek itu yang serupa dengan Program Ekonomi MADANI.

Beliau berkata sebagai contoh, antara yang dikenal pasti boleh dilaksanakan di Kem Kabota di sini bagi menjana ekonomi anggota Badan Kebajikan Angkatan Tentera 7 RAMD (Bakat) ialah projek madu kelulut.

"Kita memutuskan untuk bersama-sama di kem-kem menjayakan Program Ekonomi MADANI yang diperkenal oleh kerajaan kerana kita tahu masyarakat di luar sana mendapat manfaat besar melalui program-program menjana ekonomi masyarakat.

"Syarikat Bousted Plantation Berhad iaitu anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera juga bekerjasama dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek madu kelulut dan pembinaan rumah keluarga angkatan tentera tambahan di Kem Kabota di sini hari ini dengan diiringi Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Mohamed Khaled berkata pihaknya juga mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi pengisian program itu termasuk projek fertigasi dan cendawan.

"Projek di setiap kem itu adalah mengikut minat masing-masing... projek di Kem Kabota ini juga dilaksanakan dengan kerjasama pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang kita tahu membangunkan penyelidikan terhadap industri madu kelulut," katanya. 

Beliau berkata projek madu kelulut bukan hanya berpotensi menjana pendapatan tambahan jika dihasilkan secara meluas tetapi turut menyumbang kepada ekonomi negara.

Peserta Program Kem MADANI Staf Sarjan Muhammad Zamzuri Zulkefli pula bersyukur kerana beliau dan isterinya telah terpilih untuk menjayakan projek madu kelulut yang boleh menjana pendapatan keluarga.

"Kami mendapat pendedahan dan belajar cara menjaga ternakan dalam projek madu kelulut ini daripada tenaga kerja UMT… projek ini menggunakan konsep 3T iaitu ternak, tinggal dan tuai... penjagaan ternakan ini mudah dan isteri saya yang tidak bekerja juga boleh melakukan sendiri sambil mengisi masa lapang," katanya.

Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat UMT Dr Zuha Rosufila Abu Hasan berkata Program Kem MADANI menyaksikan kerjasama Kementerian Pertahanan dengan KPT dan fasa pertama melibatkan empat universiti.

"UMT terlibat dalam projek madu kelulut, Universiti Tun Hussien Onn pula dalam dua projek hidroponik manakala Universiti Teknologi Mara dan Universiti Malaysia Perlis dalam projek cendawan.

"Kesemua projek boleh memberi nilai impak kepada komuniti kem terlibat dan ini merupakan satu usaha penting untuk merakyatkan hasil pendidikan kepada komuniti, kita juga mahu projek ini membantu menambahkan pendapatan komuniti," katanya.

Beliau berkata bagi projek madu kelulut,UMT menawarkan khidmat nasihat melalui bengkel membabitkan pemilihan kelulut daripada sudut asas penternakan dan produk hiliran termasuk pembuatan perangkap.

Zuha Rosufila juga berkata ternakan madu kelulut di dalam kotak kayu yang diusahakan peserta di Kem Kabota boleh dituai dalam tempoh sebulan dengan anggaran hasil sebanyak satu kilogram.

"Terdapat 60 sarang madu kelulut diusahakan di Kem Kabota membabitkan 20 peserta Bakat dan harga pasaran bagi satu kilogram madu asli itu dianggarkan lebih RM500," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan