AM

TARIF AS: KERAJAAN TINGKATKAN JAMINAN SJPP RM1 BILION BAGI BANTU PENGEKSPORT PKS

05/05/2025 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan bersetuju meningkatkan jaminan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus untuk membantu pengeksport Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang terjejas susulan pengumuman tarif Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan pinjaman. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain itu bagi manfaat usahawan PKS yang terjejas, kerajaan turut bersetuju menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI).

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS yang secara langsung terjejas.

“Tarif timbal balas Amerika Syarikat memberi kesan negatif ke atas rantaian bekalan dan perdagangan global terutamanya kepada PKS dan menggugat kestabilan ekonomi rantau ASEAN,” kata beliau ketika sesi penerangan berkenaan tarif AS pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ketidaktentuan ekonomi global menyaksikan negara perlu mempertingkatkan perhatian kepada penjanaan aktiviti ekonomi domestik terutamanya projek pembangunan dan projek pelaburan.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan menumpukan usaha kepada mempercepat pelaksanaan projek yang diluluskan terutama berkaitan tebatan banjir, pembaikan sekolah daif dan pembinaan klinik.

“Bagi menyegerakan pelaksanaan, pemantapan prosedur perolehan kerajaan akan dilaksanakan terutamanya yang melibat kontraktor kecil di kategori G1-G4.

“Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had sebut harga daripada RM1 juta kepada RM3 juta dan had cabut undi daripada RM100,000 kepada RM200,000 terutamanya bagi mempercepat kerja selenggara serta pembaikan seperti sekolah daif dan klinik,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata bagi mempercepat proses prapelaksanaan projek, kapasiti agensi teknikal akan ditingkatkan termasuk melalui pendekatan baharu yang membenarkan pelaksanaan projek Kerajaan Persekutuan di atas tanah milik kerajaan negeri.

 Pada 2 April lepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik terhadap negara-negara dagangannya dengan Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus.

Bagaimanapun pelaksanaan tarif itu ditangguhkan bagi tempoh 90 hari dengan pengenaan kadar asas 10 peratus dikekalkan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan