AM

MALAYSIA YAKIN HUBUNGAN DUA HALA DENGAN SINGAPURA TERUS BERKEMBANG KUKUH

05/05/2025 10:16 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa hubungan dua hala dengan Singapura di bawah kepimpinan Perdana Menteri Lawrence Wong akan terus berkembang lebih kukuh terutama ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini.

Anwar berkata perkara tersebut disuarakan beliau dalam perbualan telefonnya dengan pemimpin Singapura itu hari ini selain turut mengucapkan tahniah kepada Wong dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) atas kemenangan besar mereka pada Pilihan Raya Umum republik berkenaan yang baru berlangsung.

“Mandat kukuh yang diterima PAP yang memenangi 87 daripada 97 kerusi mencerminkan keyakinan dan kepercayaan tinggi rakyat Singapura terhadap kepimpinan Wong,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Perdana Menteri berkata Malaysia menantikan untuk bekerjasama rapat dengan Wong dan pentadbiran beliau dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin berteraskan sejarah selain kerjasama ekonomi yang erat dan utuh serta hubungan sesama rakyat yang berjiran.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan