SEREMBAN, 5 Mei (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan perlu mengambil langkah keselamatan tambahan bagi mengurangkan risiko kemalangan di persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Height, Persiaran Senawang 1, dekat sini yang mengorbankan empat nyawa sejak dua bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar berkata pihaknya telah berbincang dengan JKR bagi mengambil kaedah terbaik supaya pengguna dapat memperlahankan kenderaan di laluan terbabit.
"Antara cadangan lain turut dibincangkan ialah memasang lampu amaran awal sebelum sampai ke simpang itu dan menambah papan tanda kawasan kemalangan bagi mengingatkan pengguna supaya lebih berhati-hati," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Arul Kumar yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri berkata selain membuat penambahan tahap keselamatan di kawasan berkenaan, beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah.
Beliau berkata cara pemanduan dan sikap pemandu memainkan peranan penting, justeru pematuhan undang-undang terutamanya berhenti ketika lampu isyarat merah perlu diberi keutamaan.
Arul Kumar berkata pemandu didapati bersalah melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan kemalangan wajar dikenakan hukuman setimpal.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Kamarul Ridzuan Md Zain ketika ditemui mencadangkan bagi mengurangkan risiko kemalangan di situ, pihak berkuasa boleh membuat garisan kuning tebal atau meletakkan road stud untuk mengurangkan kelajuan kenderaan.
"Apabila ada elemen keselamatan itu, pengguna akan lebih berhati-hati dan tidak boleh memecut sesuka hati," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan sebuah van di Jalan Persiaran Senawang 1 dekat persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Height menghala ke Paroi pada Sabtu lepas.
Insiden serupa turut berlaku pada Mac lepas, apabila tiga penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat di lokasi sama.
-- BERNAMA