EKONOMI

PERLINDUNGAN PERDAGANGAN JEJAS PERDAGANGAN GLOBAL - ASEAN+3

05/05/2025 05:54 PM

KUALA LUMPUR, May 5 (Bernama) -- Peningkatan langkah perlindungan perdagangan telah menjejaskan perdagangan global yang seterusnya membawa kepada pemecahan ekonomi. 

Ini berisiko merencatkan pergerakan perdagangan, pelaburan dan aliran modal di seluruh rantau ini, demikian menurut rumusan daripada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN+3 ke-28 (AFMGM+3).

Mesyuarat itu yang diadakan pada 4 Mei, 2025, di Milan, Itali, dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II Malaysia Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, Menteri Kewangan China Lan Fo’an dan Gabenor People’s Bank of China Pan Gongsheng.

Mesyuarat itu turut dihadiri pengarah ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO), presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), timbalan setiausaha agung Sekretariat ASEAN, dan timbalan pengarah urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

AFMGM+3 menerusi satu kenyataan bersama berkata prospek jangka pendek juga mungkin terjejas oleh risiko luaran lain, termasuk kekangan kewangan global, pertumbuhan lembap rakan dagangan utama dan aliran pelaburan yang berkurangan.

"Kami menyeru agar perpaduan dan kerjasama serantau dipertingkatkan ketika kita mengharungi ketidaktentuan yang semakin memuncak. Keutamaan dasar kita adalah untuk memperkukuh daya tahan jangka panjang sambil mengekalkan fleksibiliti untuk menangani cabaran jangka pendek, termasuk perlindungan (perdagangan) yang semakin meningkat dan ketidaktentuan kewangan global.

"Dari segi fiskal, ini bermakna membina semula penampan dasar sambil terus menyediakan sokongan bersasar untuk mengekalkan pertumbuhan sambil melaksanakan pembaharuan struktur. Kita juga akan menyelaraskan semula dasar monetari dengan teliti berdasarkan keadaan domestik," kata kumpulan itu.

AFMGM+3 menekankan bahawa mereka akan mengekalkan fleksibiliti kadar pertukaran sebagai penampan terhadap kejutan luaran.

“Pasaran eksport dan sumber pertumbuhan kita telah menjadi semakin pelbagai sejak beberapa tahun ini dengan permintaan domestik dan perdagangan sesama serantau kini menjadi pemacu utama pertumbuhan,” katanya.

Kumpulan itu berkata di tengah-tengah ketidaktentuan yang semakin meningkat dan peralihan struktur jangka panjang, mereka kekal komited terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan, tanpa diskriminasi, bebas, adil, terbuka, inklusif, saksama dan telus, bertunjangkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).  

“Kita akan meningkatkan dialog dasar ekonomi makro, menggalakkan kerjasama kewangan serantau, dan memastikan rantaian industri dan bekalan yang stabil dan tidak terhalang, untuk bersama-sama menjaga kestabilan ekonomi dan kewangan serantau.

“Kita menyokong penuh pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.

Mereka juga menggesa organisasi antarabangsa untuk mendukung multilateralisme dan menggalakkan perdagangan bebas, menganalisis dan memantau potensi kesan ketegangan perdagangan ke atas ekonomi global dan menyokong ahli mereka dengan memberikan nasihat dasar untuk menangani kemungkinan kejutan negatif.

“Kita akan menggalakkan aliran perdagangan dan pelaburan intra serantau yang lebih meluas untuk mengukuhkan daya tahan rantau ini terhadap kejutan luaran, menyesuaikan dengan cabaran sedia ada dan baharu dan menyokong pembangunan ekonomi yang mampan dan saksama.

"Memandangkan kesalinghubungan dalam pasaran kewangan, kita memantau rapat keadaan pasaran kewangan serantau," katanya.

AFMGM+3 berkata mesyuarat itu komited untuk memastikan sistem dan pasaran kewangan kekal berdaya tahan walaupun dalam keadaan tidak menentu, sambil mengekalkan komunikasi terbuka dalam kalangan ahli.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan