AM

AHLI PARLIMEN PAYA BESAR MOHD SHAHAR DILANTIK PENGERUSI JKMR

05/05/2025 09:16 PM

PUTRAJAYA, 5 Mei (Bernama) -- Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 25 April lepas hingga 25 April 2028.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas nasihat Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta SPRM (Akta 694).

Surat cara pelantikan yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur hari ini. 

Tiga ahli sedia ada terdiri daripada Ahli Dewan Rakyat Parlimen Batang Lupar Mohd Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman dan Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui.

Tiga ahli baharu JKMR adalah Ahli Dewan Negara Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan dan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

“Kesemua yang dilantik terdiri daripada kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang mewakili parti kerajaan dan parti pembangkang.

“Ahli JKMR berperanan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek berkaitan masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, SPRM memaklumkan JKMR juga dikehendaki memeriksa ulasan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tentang perjalanan suruhanjaya ini, akan fungsi di bawah Akta SPRM 2009.

JKMR juga dikehendaki mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

“Semoga dengan pelantikan ahli JKMR dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti suruhanjaya ini dalam penunaian fungsi-fungsinya,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan