LABUAN, 6 Mei (Bernama) -- Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diingatkan supaya sentiasa berhemah dan profesional ketika menggunakan media sosial, memandangkan platform digital kini mempunyai pengaruh besar dalam persepsi awam dan reputasi sesebuah institusi.
Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohammad berkata platform seperti Facebook, TikTok, Instagram dan YouTube boleh menjadi alat yang berkesan untuk mempromosikan imej jabatan jika digunakan secara bertanggungjawab.
Namun, beliau berkata pengurusan persepsi awam di media sosial perlu dilaksanakan dengan berhati-hati.
“Penyalahgunaan paltform itu, khususnya kritikan beremosi atau mengelirukan boleh menjejaskan kredibiliti jabatan.
“Anggota kita perlu kekal neutral dan elak membuat komen tidak berasas atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan mana-mana pihak atau mencetuskan sensitiviti awam,” katanya pada Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji di sebuah hotel di sini hari ini.
Nor Hisham mengingatkan anggota bomba dan penyelamat bahawa mereka tertakluk di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Akta Rahsia Rasmi 1972 serta garis panduan media sosial jabatan.
“Mematuhi peraturan itu amat penting bagi mengekalkan integriti dan kerahsiaan jabatan,” katanya.
Beliau turut menggariskan beberapa fokus strategik untuk JBPM Labuan pada 2025, antaranya meneruskan komitmen kerangka Labuan Emergency Mutual Aid (LEMA) yang penting dalam menguruskan risiko berkaitan sektor minyak dan gas.
Terdapat keperluan untuk menyemak semula manual LEMA memandangkan versi semasa masih merujuk kepada Arahan MKN No. 20 yang telah dimansuhkan dan digantikan dengan Arahan No. 1 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Nor Hisham turut menyentuh mengenai peranan jabatan dalam mempromosikan kesedaran keselamatan air sejajar dengan visi C.H.A.S.E iaitu Bersih, Sihat, Maju, Selamat dan Mesra Alam.
“JBPM akan bertanggungjawab memberikan nasihat dan menguatkuasakan standard keselamatan air sebagai sebahagian tugas di bawah Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA),” katanya.
Beliau turut mengumumkan kerajaan Persekutuan meluluskan pembinaan 72 unit kuarters baharu untuk anggota JBPM Labuan membabitkan kos keseluruhan RM70 juta, dengan peruntukan RM300,000 bagi 2025.
Nor Hisham turut mengulangi sokongan JBPM terhadap ‘One Billion Readiness Initiatives’, bertujuan melatih 4.5 juta orang dalam bidang kebombaan dan tindak balas kecemasan dari tahun 2025 hingga 2027.
“Ini termasuk pelaksanaan 12,000 program pendidikan komuniti untuk meningkatkan tahap siap siaga orang awam,” katanya.
-- BERNAMA