ALOR SETAR, 6 Mei (Bernama) -- Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) ditutup sementara berikutan insiden melibatkan sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 5 petang tadi.
Malaysia Airports dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan landasan tersebut bagi membolehkan kerja pemindahan pesawat berkenaan dan pembersihan landasan dijalankan.
“Satu notis kepada juruterbang (NOTAM) telah dikeluarkan dan penutupan dijangka berlanjutan hingga 10.30 malam ini. Sepanjang tempoh ini, semua operasi penerbangan di LTSAH akan terjejas.
“Semua penumpang, termasuk jemaah yang dalam perjalanan untuk menunaikan ibadah haji, dinasihatkan untuk merujuk kepada syarikat penerbangan atau Lembaga Tabung Haji bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penerbangan mereka,” menurut kenyataan itu.
Pihak lapangan terbang akan mengeluarkan maklumat terkini sebaik sahaja landasan disahkan selamat dan dibuka semula untuk operasi penerbangan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Sementara itu, TUDM dalam satu kenyataan mengesahkan sebuah pesawat pejuang Hawk miliknya yang sedang menjalani latihan ‘opening gambit’ bagi acara pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25) terlibat dalam kemalangan di LTSAH petang tadi.
Menurut TUDM, dalam insiden pada 5 petang itu pesawat terbabit mengalami masalah 'nose landing gear' semasa melakukan pendaratan di lapangan terbang berkenaan.
“Juruterbang pesawat berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dengan lebih terperinci,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA