ALOR SETAR, 7 Mei (Bernama) -- Ribuan penduduk Kedah tidak melepaskan peluang melihat secara lebih dekat pesawat dan aset udara milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang sedang menjalani latihan penerbangan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25), dari 20 hingga 24 Mei ini.
Musa Bari, 64, dari Kampung Titi Gajah di sini berkata hampir setiap hari dia akan menunggu di bahagian tepi jalan dan kawasan bendang berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim untuk melihat pesawat-pesawat milik TUDM menjalani latihan aerobatik.
“Saya datang hendak lihat pesawat Sukhoi dan Hawk, bukan mudah untuk lihat ia terbang membelah langit biru di Alor Setar ini… Memang sangat teruja. Jadi, walaupun terpaksa menunggu lama dalam keadaan hujan atau panas, ia tidak mematahkan semangat saya untuk melihat pesawat-pesawat berkenaan.
“Tambahan pula, saya memang peminat tegar LIMA… Sejak kali pertama ia dianjurkan, saya tidak pernah terlepas peluang untuk turun ke Langkawi bagi melihat pertunjukan dan pameran yang disediakan kepada pengunjung. Tahun ini saya akan berada di sana selama tiga hari,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Mohd Yusry Nasser, 32, dari Pendang berkata dia datang membawa dua anak lelakinya berusia tiga dan lima tahun untuk melihat pesawat yang dijangka menjalani latihan aerobatik semula hari ini.
“Semalam saya dan anak-anak datang juga tetapi sebaik tiba, orang ramai memaklumkan latihan terpaksa dibatalkan berikutan berlaku kemalangan melibatkan pesawat Hawk… Memang kecewa kerana anak-anak sudah teruja tetapi ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan, sebab itu kami datang semula pagi ini.
“Dua tahun lepas saya turut melihat pertunjukan aerobatik ini di Langkawi tetapi tahun ini tidak ada rezeki untuk ke sana… Jadi, memandangkan kami tinggal tidak jauh dari sini, saya ambil kesempatan untuk bawa anak-anak lihat pesawat dengan lebih dekat,” katanya.
Tan Boon Cheng, 58, dari Jitra pula berkata dia berhenti di bahu jalan untuk melihat latihan yang dilakukan pesawat TUDM itu sejak beberapa hari lepas setelah berasa kagum dan teruja mendengar deruman enjin pesawat-pesawat berkenaan.
“Saya tinggal di Jitra tapi hampir setiap hari akan datang ke Alor Setar atas urusan kerja. Kali pertama lalu, saya mendengar bunyi ‘deruman’ di langit, dan bila lihat saya nampak beberapa pesawat terbang di sekitar kawasan ini, sebab itu saya berhenti untuk melihat… Paling teruja untuk lihat pesawat Sukhoi terbang” katanya.
-- BERNAMA