AM

HARGA RON97, DIESEL DI SEMENANJUNG TURUN 8 SEN

07/05/2025 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Harga runcit petrol RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia turun lapan sen iaitu masing-masing ditetapkan pada RM3.10 dan RM2.80 seliter bagi tempoh 8 hingga 14 Mei ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON95 kekal  RM2.05 seliter manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan turut kekal pada RM2.15 seliter. 

MOF menjelaskan penetapan kadar itu berdasarkan harga runcit produk petroleum mingguan yang menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM). 

“Kerajaan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaraskan harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dunia, serta menyokong kestabilan harga,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOF kerajaan juga akan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan