POLITIK

PEMILIHAN PKR: NURUL IZZAH MAHU BAWA PARTI MENANG PADA PRU16

15/05/2025 12:51 AM

SHAH ALAM, 14 Mei (Bernama) -- Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berazam untuk membawa parti itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menerusi beberapa langkah tuntas.

Beliau yang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR sesi 2025-2028 berkata antara langkah wajar ialah mengukuhkan hubungan di antara rakan komponen serta parti gabungan Pakatan Harapan untuk meningkatkan kepercayaan pengundi selain pemerkasaan wanita dan belia. 

"Berilah saya peluang, saya nak pastikan kita tanam rasa cinta sesama kita, rasa sayang sesama kita walau kita berbeza kaum, berbeza agama, berbeza puak tetapi kita mampu melangkaui sama ada ego, geram dan dendam maka inilah penentu sama ada kita boleh hidup segar-bugar dalam setahun, dua tahun sampailah 100 tahun lagi," katanya.

Nurul Izzah berkata demikian ketika berucap pada program Temu Rapat Akar Umbi bersama Nurul Izzah Anwar di sini malam ini yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari iaitu calon Naib Presiden dan Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil.

Pada sidang media selepas itu, Nurul Izzah berkata pada pemilihan kali ini pihaknya lebih menumpukan kepada penganjuran program berimpak tinggi serta menyantuni perwakilan lebih-lebih lagi golongan wanita dan muda selain mengurangkan ketegangan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan