KOTA KINABALU, 7 Mei (Bernama) -- Pengamal media, khususnya dalam kalangan wartawan di Sabah perlu lebih proaktif meneroka seterusnya menguasai kelebihan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan daya kreativiti dan kualiti pelaporan berita berlandaskan etika kewartawanan.
Wartawan Utusan Borneo Sabah, Siti Aisyah Narudin berkata terdapat banyak aplikasi dan peralatan berkaitan AI yang boleh dimanfaatkan sebaiknya oleh golongan wartawan untuk melancarkan lagi tugasan mereka, termasuk dalam proses transkripsi audio atau video serta semakan fakta.
"Teknologi AI sangat bermanfaat dan wartawan seharusnya menggunakan kelebihan ini untuk menambah baik keupayaan serta daya kreativiti masing-masing dalam menghasilkan laporan berita," katanya kepada Bernama selepas menghadiri kursus AI For Journalism: Transcription and Smart Tools di sini hari ini.
Kursus dua hari bermula semalam itu dianjurkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), melibatkan 25 wartawan daripada pelbagai agensi media di Sabah.
Siti Aisyah yang juga Setiausaha Persatuan Wartawan Sabah, berkata kursus sedemikian mampu menjadi medium memperluaskan ilmu pengetahuan AI dalam kalangan pengamal media tempatan dengan berkongsi maklumat mengenai kaedah penggunaan aplikasi tersebut.
Bagi wartawan The Star, Stephanie Lee pengamal media perlu bersedia menyelami setiap perkembangan teknologi terkini termasuk menggunakan kecanggihan AI dalam melaksanakan tugasan kerana ia jelas berupaya membantu wartawan bekerja dengan lebih efisien.
"Sebagai wartawan, kita mesti belajar dan mengikuti perkembangan semasa. Kita tidak boleh menolak sebaliknya perlu menggunakan teknologi itu supaya ia dapat membantu memudahkan kerja, hanya jangan disalahgunakan," katanya.
Yenompiyaah Mabin dari The Malaysia Press pula berkata pengamal media tidak boleh tertinggal dalam memahami dan mendapat pendedahan mengenai penggunaan AI, selain perlu bijak memanfaatkan teknologi itu tanpa mengenepikan etika kewartawanan.
Sementara itu, wartawan penyiaran RTM Sabah Gabriel Michael Staun memuji dan menghargai inisiatif Bernama mengadakan kursus AI untuk pengamal media di negeri ini kerana ia dapat memberi pendedahan mengenai kelebihan penggunaan aplikasi AI dalam dunia kewartawanan.
"Melalui kursus ini, saya mendapat banyak maklumat dan teknik terkini untuk menghasilkan bahan berita dengan cepat serta tepat.
"Saya amat menghargai usaha dilakukan Bernama dan berharap program ini dapat diteruskan untuk memperkasa lagi golongan wartawan di Sabah dari semasa ke semasa," katanya.
-- BERNAMA