KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Institusi penyelidikan perubatan di negara ini termasuk Clinical Research Malaysia (CRM) disaran meningkatkan sinergi dengan insitusi penyelidikan di ASEAN bagi memastikan kos ubat-ubatan dapat dikurangkan, manakala penemuan serta kajian ditingkatkan, dan perubatan baharu yang bersesuaian dengan iklim serantau dapat diperkenalkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata CRM juga perlu berkolaborasi dengan universiti tempatan khususnya fakulti perubatan bagi memastikan aspek penyelidikan diberikan tumpuan dan mendatangkan hasil yang terbaik untuk kegunaan rakyat.
"Cabaran kita antara lain ialah memastikan kos perubatan tidak melambung kerana industri perubatan ini boleh membebankan, seperti yang kita lihat dan baca, syarikat-syarikat besar (meraih) keuntungan terlalu tinggi tanpa mereka fikir ia membebankan pengguna.
"Kita mahu dalam strategi kerjasama ASEAN yang lebih dekat dan mantap dengan pusat penyelidikan utama, seperti dari Phnom Penh, Vientiane, Singapura, Jakarta, Bangkok, Manila dan sekitarnya, dapat menjayakan kajian dan penyelidikan," katanya pada perasmian CRM Trial Connect Conference 2025, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak.
Menyoroti sekitar era 70an, Anwar berkata institut penyelidikan perubatan (IMR) di negara ini mendapat pendedahan dan penglibatan pakar-pakar antarabangsa, walaupun lebih tertumpu kepada penyakit di barat.
Justeru beliau berharap kajian perubatan yang dijalankan di negara ini perlu memberi fokus kepada penyakit dihadapi majoriti rakyat.
"Saya masih ingat Allahyarham Prof Dr Ungku Omar (tokoh perubatan negara Datuk Prof Ungku Omar Ungku Ahmad) masa itu mengatakan, kita harus melihat masalah kita dulu, masalah seperti cacing kerawit, malaria, batuk kering.
"Jadi dialihkan pemusatan IMR kepada pesakit-pesakit sekitar rantau ini, sementara bicara soal lain yang penting di dunia, tetapi tumpukan tentang masalah yang dihadapi majoriti rakyat di negara kita," katanya.
Sementara itu Perdana Menteri mengingatkan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya memahami dasar ekonomi makro dalam kalangan kakitangan dan pembuat dasarnya bagi menangani 'penyakit ekonomi' di Malaysia.
Anwar berkata dasar yang jelas harus menjadi asas dalam kementerian itu, agensi, jabatan serta pusat penyelidikan bagi memastikan masalah ini diatasi dengan kaedah terbaik dan berkesan.
"Saya selalu katakan kepada Dr Dzulkefly (Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad), sila maklumkan kakitangan anda bukan sahaja untuk mengetahui tentang penyakit tetapi juga untuk memahami penyakit ekonomi, dasar-dasar ekonomi makro.
“Setiap kementerian, setiap jabatan, setiap pusat penyelidikan pasti mahu lebih banyak peruntukan tetapi anda perlu melihat kepada sekolah, infrastruktur luar bandar, klinik dan hospital, dan cabaran ini mesti dihadapi secara adil, sama rata setelah memahami batasannya.
"Kita boleh mengeluarkan lebih banyak dana, tetapi kita perlu kenakan cukai lebih… tetapi apabila kita kenakan cukai lebih, ia menjadi beban bukan sahaja kepada orang ramai tetapi juga kepada para doktor," katanya.
Anwar berkata sejak 2012, ekosistem penyelidikan klinikal menyumbang lebih RM1.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar Malaysia dan mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
-- BERNAMA