JENAYAH & MAHKAMAH

SEKURANG-KURANGNYA LAPAN SUSPEK TERLIBAT DALAM PENCULIKAN PAMELA LING - KETUA POLIS KL

08/05/2025 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Polis mendapati sekurang-kurangnya lapan individu yang menaiki lima kereta terlibat dalam kejadian penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh, di Putrajaya pada 9 April lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata ia hasil semakan yang dilakukan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.

“Melalui rakaman CCTV berkenaan kita dapati tiga kenderaan, masing-masing sebuah Toyota Camry, Nissan Almera dan Nissan Teana, telah menghalang laluan kereta e-hailing yang dinaiki oleh Pamela Ling manakala dua lagi kereta bertindak mengawasi kawasan sekitar.

“Tiga individu kemudian keluar daripada kereta yang menghalang kenderaan dinaiki Pamela Ling dan mengarahkan mangsa keluar dan memasuki salah sebuah kereta terlibat.

“Kesemua kereta berkenaan kemudian dilihat menggunakan dua laluan berbeza untuk keluar dari Putrajaya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Rusdi berkata hasil pemerhatian rakaman CCTV itu juga, pihaknya mengesahkan dua individu yang terlibat memakai vest seperti yang digunakan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun beliau berkata siasatan awal polis mendapati tiada apa-apa serbuan atau operasi dijalankan oleh mana-mana bahagian PDRM di sekitar lokasi itu pada hari kejadian dan suspek dipercayai bertindak menyamar sebagai polis untuk mengaburi mangsa, orang ramai dan pihak berkuasa.

Rusdi berkata rakaman CCTV juga menunjukkan tiada sebarang pergelutan berlaku dan mangsa dilihat akur ketika diminta keluar dari kenderaan yang dinaiki dan masuk ke dalam sebuah daripada kenderaan suspek.

"Malah pemandu e-panggilan itu juga hanya menurut sahaja apabila diarahkan untuk menyerahkan kad pengenalannya dan menandakan perjalanan telah tamat seperti yang diarahkan suspek. Laporan polis dibuat oleh pemandu itu kerana suspek tidak menyerahkan kembali kad pengenalan beliau," katanya.

Polis kini giat mengesan kesemua kenderaan terlibat dan setelah semakan dilakukan mendapati tiga kereta yang terlibat merupakan kereta klon yang mempunyai jenis, warna dan nombor pendaftaran yang sama dengan yang dimiliki oleh individu di Pahang dan Kelantan.

"Pemeriksaan mendapati kereta berkenaan berada bersama pemiliknya pada hari kejadian," katanya.

Rusdi berkata polis juga telah membuat pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan mendapati tiada rekod yang menunjukkan Pamela Ling meninggalkan negara ini selepas kejadian berkenaan.

"Kita percaya beliau masih berada di dalam negara dan usaha untuk menjejaki beliau sedang giat dijalankan," katanya.

Pada 9 April, Ling, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan, untuk memberi keterangan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan, dan polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 3.02 petang hari yang sama.

Sementara itu Rusdi berkata 16 individu telah direkod keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan polis akan merekod keterangan tiga anak kepada Pamela Ling Yueh serta beberapa individu lain di Singapura bagi membantu siasatan.

Bagi memudahkan urusan beliau berkata proses rakaman percakapan saksi yang berada di Singapura dijangka boleh dilakukan di Johor atau pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

“Kita boleh minta mereka hadir ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru. Selain itu, kita juga boleh rakam keterangan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, namun, ia bergantung kepada keperluan siasatan,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan