Oleh Kisho Kumari Sucedaram
BEIJING, 8 Mei (Bernama) -- Kelancaran perjalanan udara global bertukar menjadi kelam-kabut pada pagi Rabu susulan tindakan drastik syarikat penerbangan dunia membatalkan perkhidmatan selain melencongkan laluan yang merentasi Asia, Timur Tengah dan Eropah selepas penutupan ruang udara Pakistan.
Tindakan yang berkuat kuasa pada 6 Mei itu, dilaksanakan di tengah-tengah kekalutan akibat ketegangan India dan Pakistan yang meruncing sehingga memaksa syarikat penerbangan global bergegas mencari arah laluan alternatif.
Perkhidmatan jejak penerbangan Flightradar24 yang lazimnya sarat dengan paparan imej pergerakan pesawat, sebaliknya memaparkan keadaan lengang dengan ketiadaan pesawat di ruang udara Pakistan sejak semalam dan laluan utama dilencongkan di serata negara.
Hanya segelintir pesawat dilihat melakukan pendaratan di bandar-bandar utama Pakistan pada kira-kira 1 tengah hari waktu tempatan, termasuk penerbangan dari Sharjah ke Islamabad, Riyadh ke Islamabad dan Toronto ke Lahore.
Syarikat penerbangan negara-negara Teluk seperti Emirates, Etihad, Flydubai dan Qatar Airways telah membatalkan penerbangan ke utara Pakistan dan bandar-bandar India, termasuk Islamabad, Lahore, Sialkot dan Amritsar.
Etihad misalnya bertindak melakukan pembatalan beberapa penerbangan pada 7 Mei, termasuk EY297 ke Karachi, EY285 ke Lahore dan EY303 ke Islamabad.
Air Arabia yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga tidak ketinggalan menyusun semula jadualnya berikutan konflik itu dengan membatalkan penerbangan antara Pakistan dan Sharjah atau Abu Dhabi.
Syarikat penerbangan Taiwan, EVA Air terpaksa melencongkan laluan penerbangannya yang ke Eropah bagi mengelak ruang udara Pakistan atas sebab keselamatan dengan penerbangan dari Vienna berpatah balik manakala satu lagi dari Taipei ke Milan dilencongkan ke Vienna untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan.
Media antarabangsa melaporkan Korean Air melencongkan penerbangan dari Seoul ke Dubai menggunakan laluan selatan melintasi Myanmar, Bangladesh dan India bagi memintas ruang udara Pakistan.
China Airlines terpaksa membatalkan tiga penerbangan ke Eropah dari Taoyuan – ke London, Prague dan Rome serta melencongkan laluan lain.
Penerbangan ke Frankfurt dan Amsterdam misalnya telah dilencongkan untuk melintasi ruang udara Bangkok pada 6 Mei manakala penerbangan London-Taoyuan dilencongkan ke Prague.
Bagi Thai Airways, penerbangan ke destinasi di Eropah dan Asia Selatan telah dilencongkan bermula awal Rabu.
Malaysia juga tidak terkecuali apabila syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines mengubah laluan dua penerbangannya -- MH2 dan MH22 yang terpaksa singgah mengisi miyak di Doha, Qatar sebelum meneruskan penerbangan ke Heathrow London dan Charles de Gaulle di Paris.
Syarikat penerbangan itu turut menggantung semua penerbangan ke dan dari Amritsar, India, sehingga 9 Mei berikutan penutupan sementara Lapangan Terbang Amritsar dari 7-9 Mei dengan memetik keadaan keselamatan dan operasi yang berubah.
Batik Air pula membatalkan penerbangan ke dan dari Lahore dan Amritsar pada 7 dan 8 Mei atas alasan situasi serantau pada masa ini.
AirAsia Malaysia turut bertindak menggantung sementara perkhidmatannya ke dan dari Amritsar, India, pada 7-9 Mei susulan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Sri Guru Ramdas Jee.
Syarikat penerbangan nasional Rusia Aeroflot mengumumkan penerbangannya dari Moscow dan ke destinasi termasuk India, Sri Lanka, Thailand, Maldives dan Seychelles juga akan dilencongkan.
Di Amerika Syarikat, United Airlines membatalkan penerbangan ke New Delhi kerana ketegangan India dan Pakistan.
Menurut CNA, Singapore Airlines dan Scoot telah mengelak ruang udara Pakistan sejak 6 Mei dan sebaliknya menggunakan laluan alternatif.
Tindakan sama turut dilakukan oleh Air France dan Vietnam Airlines yang menggunakan laluan alternatif untuk mengelak ruang udara Pakistan.
Namun, SriLankan Airlines berkata operasi penerbangannya kekal tidak terjejas, tanpa perubahan pada empat penerbangan mingguannya ke Lahore dan Karachi.
Susulan gangguan itu, sebahagian besar penerbangan di serata dunia telah menasihatkan pengembara atau atau penumpang untuk sering merujuk maklumat dikemaskini sebelum menuju ke lapangan terbang.
Ketegangan antara India dan Pakistan yang berjiran, terus ketara sejak bulan lepas dan terbukti meningkat pada awal Rabu menerusi laporan serangan udara rentas sempadan selain kejadian berbalas tembakan artileri di sepanjang Garisan Kawalan (ketenteraan) di wilayah Kashmir.
-- BERNAMA