POLITIK

RAMANAN SOKONG NURUL IZZAH BERTANDING JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN PKR

08/05/2025 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR Datuk Seri R Ramanan secara peribadi menyokong Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti bagi sesi 2025-2028. 

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata ini kerana Nurul Izzah disifatkan sebagai individu yang mempunyai pengaruh di peringkat antarabangsa serta mempunyai integriti sangat tinggi sekali gus memberi manfaat kepada parti. 

“Memang kalau dari segi kelayakan, memang layak sebab bukan saja beliau mempunyai pengalaman luas dalam politik, beliau juga merupakan seorang yang bukan sahaja (mempunyai) imej publik yang bagus di Malaysia tetapi diiktiraf di peringkat global. Jadi bagi saya memang layak. 

“Saya lihat saudari Nurul Izzah seorang yang telus, mempunyai hala tuju, mempunyai pandangan jauh, tak pernah memberi laluan untuk cuti dan tak pernah mengatakan beliau tidak mahu berkhidmat. Jadi kalau ada pihak tidak mahu berkhidmat atau cara nak berkhidmat lain, baik dia jangan pegang apa-apa jawatan,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) dan Deklarasi Konvensyen Francais Asean (AFC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. 

Ramanan turut menepis dakwaan sesetengah pihak mengaitkan pencalonan anak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR itu untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden sebagai nepotisme kerana secara logik ia melibatkan pertandingan secara demokratik dan bukan lantikan. 

“Kalau kita lihat nepotisme itu kalau saudari Nurul Izzah dilantik oleh ayah beliau, itu merupakan nepotisme (tetapi) ini pertandingan pemilihan jawatan Timbalan Presiden di mana dia bertanding, dia bukan dilantik.

“Kita ada 30,000 ahli, pemimpin parti yang mewakili tiga kaum akan membuat keputusan siapa yang akan jadi Timbalan Presiden, siapa akan jadi Naib Presiden, siapa akan jadi ahli MPP (Majlis Pimpinan Pusat), jadi bagi saya tidak wujud langsung nepotisme itu kerana dia dipilih kalau sekiranya dia menang,” katanya.

Selain itu, Ramanan berkata lebih dua pertiga daripada 222 cabang PKR turut menyatakan sokongan terhadap pencalonan yang menunjukkan suasana demokrasi dalam parti yang mengangkat suara akar umbi. 

“Bagi saya, itu adalah hasrat akar umbi parti. Kalau kita lihat daripada kebanyakan cabang, kalau tak silap saya lebih daripada 150 cabang, saya kira dua pertiga sudah mencalonkan,” katanya.

Ramanan turut mengesahkan dirinya akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden PKR pada sesi pemilihan kali ini dan telah menghantar borang pencalonan semalam.

Semalam, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata beliau akan membuat keputusan terbaik berhubung cadangan akar umbi dan pimpinan yang mahukan beliau bertanding Timbalan Presiden pada pemilihan parti bagi sesi 2025-2028.

Menerusi catatan di Facebook, Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang berkata keputusan itu mestilah mengimbangi antara kesepakatan, jalinan dengan persahabatan dan perubahan serta reformasi bermakna buat semua anggota parti.

Pencalonan bagi Pemilihan PKR 2025 membabitkan peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Pusat akan berlangsung selama dua hari secara dalam talian bermula hari ini.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan