AM

21 PEGAWAI, ANGGOTA ATM BERKURSUS DI PAKISTAN, INDIA SELAMAT

08/05/2025 03:02 PM

KOTA TINGGI, 8 Mei (Bernama) -- Sebanyak 21 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalani kursus di kolej ketenteraan di Pakistan dan India berada dalam keadaan selamat.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata terdapat 18 pegawai dan anggota ATM sedang mengikuti kursus di beberapa kolej ketenteraan di India, manakala tiga di Pakistan.

“Mereka (pegawai dan anggota) tidak terlibat dalam kawasan berlakunya serangan serta konflik, dan sebahagian besarnya memang akan habis tahun ini.

“Ketika ini, semuanya masih dalam keadaan selamat tapi kita akan terus memantau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Jana Veteran Boustead Plantations Bhd di Ladang Telok Sengat di sini hari ini.

Mohamed Khaled bagaimanapun berkata kementerian itu akan terus memantau keadaan semasa di dua negara Asia Selatan berkenaan sebelum mengambil langkah seterusnya.

Ketegangan antara Pakistan dan India mengakibatkan sekurang-kurangnya 43 kematian setakat ini, dengan Islamabad melaporkan 31 orang awam terbunuh akibat serangan udara dan tembakan rentas sempadan oleh India, manakala New Delhi pula melaporkan sekurang-kurangnya 12 kematian susulan serangan balas oleh Pakistan.

Serangan India dilancarkan dua minggu selepas New Delhi mendakwa Islamabad menyokong serangan terhadap pelancong di Kashmir yang ditadbir India, namun tuduhan itu dinafikan Pakistan.

Jurucakap tentera Pakistan Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry dilaporkan berkata lima jet pejuang India ditembak jatuh di sempadan.

Terdahulu, Projek Jana Veteran adalah inisiatif yang digerakkan oleh Boustead Plantations dengan usahasama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) untuk membantu mereka menjana pendapatan stabil melalui program pertanian, selain membantu usaha kerajaan dalam memperkukuh aspek keterjaminan makanan. 

Projek di Ladang Telok Sengat juga adalah projek perintis yang memfokuskan kepada tanaman halia dan cili fertigasi, dengan Boustead Plantations secara awal menyediakan 15 plot fertigasi di atas tanah seluas 12 hektar bagi tujuan penanaman halia sebelum diperluaskan kepada tanaman lain.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan