JERTIH, 9 Mei (Bernama) -- Tindakan sesetengah guru memuat naik hantaran di media sosial, yang memberitahu tarikh mula bersara dan mempamerkan rasa sunyi, menjadikan mereka sering menjadi sasaran kelompok penipu yang akan berusaha mengambil kesempatan, kata Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Kamsah@Kamal Mohamed.
Beliau berkata perbuatan itu akan membuatkan mereka mudah menjadi sasaran penipu atau scammer, yang menggunakan pelbagai taktik untuk menipu, dan sejak kebelakangan ini ada banyak kes seumpama itu dilaporkan berlaku, yang membabitkan mangsa dalam kalangan guru atau pesara guru.
“Mereka menjadi sasaran penjenayah siber yang menipu dengan pelbagai cara, sama ada love scam, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud atau pelaburan tidak wujud, dan data Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kategori jenayah dalam talian antara Januari 2023 hingga April 2025 adalah seramai 609 orang mangsa membabitkan kerugian RM13.5 juta.
“Daripada jumlah itu, difahamkan ramai mangsanya adalah guru dan pesara,” katanya pada Program Pencegahan Jenayah Kewangan Dalam Talian (Online Scam) anjuran Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud, di sini hari ini.
“Diharapkan, kempen seperti ini dapat memberi panduan dan peringatan kepada warga pendidik, sekali gus menghentikan ancaman ini sepenuhnya,” katanya.
-- BERNAMA