KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Aksi persahabatan berdepan pasukan di tangga ke-72 dunia Cape Verde, bakal menjadi medan penting buat skuad Harimau Malaya mengukur tahap persiapan menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, bulan depan.
Pertemuan pertama akan berlangsung sebagai perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei ini.
Kedua-dua pasukan kemudian akan kembali berentap sebagai perlawanan latihan secara tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun.
“Ini sebahagian daripada persiapan diatur skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan kedua Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional pada 10 Jun,” menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Malaysia memulakan kempen Kumpulan F dengan kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor Mac lepas manakala Vietnam menewaskan Laos 5-0 di laman sendiri.
Pasukan negara bimbingan Peter Cklamovski kini menghuni ranking ke-131 dunia sementara Vietnam ke-109.
Sementara itu, FAM memaklumkan tiket bagi perlawanan membabitkan Harimau Malaya menentang Cape Verde dan Vietnam masing-masing boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman sesawang www.tickethotline.com.my pada Isnin depan bermula 10 pagi.
“Kesemua tiket dijual secara dalam talian sepenuhnya hingga hari perlawanan dan tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di stadium bagi kedua-dua perlawanan ini,” menurut kenyataan itu.
Bagi perlawanan menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, tiket terbuka berharga RM40 dan kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) berharga RM5.
Tiket bagi perlawanan Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional, dijual pada harga RM40 bagi tiket terbuka, grandstand (RM60), premium (RM70) dan RM5 bagi kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun.
-- BERNAMA