AM

NCEC LULUS CADANGAN KERANGKA EPR DAN PELAKSANAAN MANDATORI REKA BENTUK EKO - NGA

09/05/2025 06:30 PM

PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (NCEC) hari ini meluluskan secara dasar cadangan kerangka Polisi Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) dan pelaksanaan mandatori reka bentuk eko.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata EPR merupakan antara fokus utama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun ini yang menekankan aspek 'Tanggungjawab Bersama Kerajaan-Swasta" dalam menguruskan sisa pepejal.

"EPR merupakan instrumen tunjang dalam ekonomi kitaran dengan meletakkan tanggungjawab bersama kerajaan dan industri menguruskan sisa secara mampan dan bertanggungjawab, seterusnya mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam menguruskan sisa pepejal," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas beliau mempengerusikan NCEC, di sini hari ini.

Beliau berkata kerangka Polisi EPR yang dibangunkan oleh KPKT adalah hasil sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh terutamanya pihak industri yang merangkumi elemen utama seperti model EPR, penentuan syarikat berkewajipan, sasaran pemerolehan, jenis bahan, fasa pelaksanaan serta peranan dan tanggungjawab pemegang taruh yang berkaitan. 

Nga berkata NCEC juga meluluskan empat polisi baharu bagi memacu ekonomi kitaran antaranya cadangan pelaksanaan mandatori eco-design yang dikemukakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang merangkumi pembangunan dasar dan peraturan mandatori, rangka kerja, garis panduan dan piawaian reka bentuk eko.

"Produk reka bentuk eko ini akan dapat memupuk budaya penggunaan produk mampan serta keyakinan pengguna," katanya.

Beliau berkata NCEC turut bersetuju agar semua kompleks membeli-belah diwajibkan untuk menyediakan kemudahan pusat kitar semula atau drive-through recycling centre sebagai syarat lesen premis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuatkuasa 1 Januari 2026.

Nga berkata mesyuarat turut mengambil maklum mengenai inisiatif "KITAR: Peranti Lama, Nafas Baharu" yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang mengetengahkan kepentingan menguruskan e-waste dengan cekap dan berkesan melalui proses kitar semula dan remanufacturing

Di samping itu beliau berkata Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) turut memaklumkan pelaksanaan Program Kitar Semula di residensi Komuniti PR1MA dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang melibatkan pembelian minyak masak terpakai, barangan kitar semula serta aktiviti meningkatkan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam.

"Inisiatif ini adalah contoh yang menyokong inisiatif blueprint agar pemaju perumahan menyediakan kemudahan yang menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran serta bergerak bersama kerajaan dalam transformasi ke arah masyarakat rendah karbon," katanya.

Nga berkata semua hasil NCEC itu adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal 2025-2035 bagi merealisasikan agenda negara dalam mentransformasikan pengurusan sisa pepejal mengikut model ekonomi kitaran. 

"Susulan itu, KPKT akan mengemukakan hasil mesyuarat kali ini untuk pertimbangan dan kelulusan mesyuarat Jemaah Menteri," katanya.

Nga turut memaklumkan mengenai Hari Cuci Malaysia yang bakal diadakan pada 27 Sept ini di Port Dickson akan melibatkan 100,000 peserta seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai pihak seperti kementerian, jabatan, persatuan, pihak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, anggota keselamatan dan orang awam.

Program itu merupakan acara tahunan bagi memperkukuhkan kesedaran masyarakat Malaysia mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan