SIBU, 10 Mei (Bernama) -- Sarawak komited untuk mentransformasikan sektor pertanian ke arah yang lebih moden dan berdaya saing dalam usaha mencapai status sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dr Abdul Rahman Ismail berkata pada tahun lalu Sarawak mencatatkan defisit dagangan makanan sebanyak RM6.44 bilion, dengan nilai import mencecah RM7.62 bilion berbanding hanya RM1.18 bilion nilai eksport.
“Ini jelas menunjukkan Sarawak masih terlalu bergantung kepada makanan import. Maka, sudah tiba masanya untuk kita bangkit sebagai pengeluar utama makanan negara,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Petani 2025 di sini, hari ini.
Beliau mewakili Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, pada majlis anjuran Persatuan Penanam Sayur Sibu itu.
Menurut Dr Abdul Rahman, pelbagai cabaran seperti perubahan iklim, ketegangan geo-politik dan peningkatan kos logistik memberi tekanan besar terhadap sistem makanan global dan serantau.
Bagi menangani cabaran tersebut, beliau berkata Kerajaan Sarawak telah merangka beberapa inisiatif utama termasuk pembangunan taman agro dan akuakultur; Taman Teknologi Pertanian Sarawak (SARTECH) dan Taman Pertanian Presisi; pembinaan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) serta Terminal Agro Makanan; penambahbaikan infrastruktur pengairan dan saliran bagi projek tanaman padi komersial; pembangunan industri benih tempatan; serta pelaksanaan kawalan biosekuriti yang lebih ketat.
Beliau turut menyeru penglibatan lebih ramai golongan muda serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang pertanian, terutamanya melalui penggunaan teknologi moden seperti Internet Kebendaan (IoT), mekanisasi dan automasi.
“Pertanian bukan lagi kerja 3D (kotor, susah dan berbahaya). Ia kini merupakan kerjaya profesional yang berpotensi menjana pendapatan lumayan,” katanya sambil menggesa kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta diperkukuh bagi mempercepat proses transformasi sektor pertanian Sarawak.
Terdahulu, beliau merakamkan penghargaan kepada Persatuan Penanam Sayur Sibu atas penganjuran persidangan yang julung kali diadakan di Sarawak yang berjaya menarik lebih 700 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Persidangan ini merupakan platform penting bagi pakar serta usahawan tani untuk berkongsi ilmu dan merangka strategi ke arah pertanian yang lebih mampan dan kompetitif,” katanya.
-- BERNAMA