KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Biarpun mengalami masalah kesihatan baru-baru ini, pelapis kebangsaan Nurqayyum Nazmi berjaya membutirkan pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki bersama gandingannya Yong Rui Jie dalam ujian pemilihan terjun kebangsaan hari ini.
Lebih manis, gandingan muda negara itu telah mengumpul 343.80 mata untuk mengetepikan pasangan senior Muhammad Syafiq Puteh-Gabriel Gilbert Daim yang meraih perak dengan 340.62 mata manakala Awang Sharzan Nasrin-Soh Tze Kang dari Sarawak menang gangsa dengan 295.86 mata.
Keputusan dicatatkan Nurqayyum-Rui Jie itu juga melepasi skor kelayakan minimum (MQS) ditetapkan untuk remaja iaitu 340 mata.
Nurqayyum ketika ditemui mengakui agak bimbang tidak dapat melakukan terjunan dengan baik selepas sembuh daripada demam dialaminya.
“Saya amat bangga dengan pencapaian kami hari ini walaupun baru pulih daripada demam hari ini. Kami juga gembira dapat lepasi MQS remaja,” katanya ketika ditemui di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini.
Rui Jie yang mengutip emas acara 1m papan anjal lelaki sebelum itu berkata beliau amat berpuas hati dengan pingat emas kedua dimenanginya hari ini walaupun sedikit letih ketika beraksi dalam acara keduanya.
Terdahulu, Rui Jie turut melepas MQS ditetapkan iaitu 280 mata selepas mengumpul 312.75 mata, mengatasi Awang Sharzan (282.35 mata) kedua dan Muhammad Syafiq (279.75) ketiga.
Dalam acara 10m platform seirama lelaki pula, mempamerkan prestasi mengagumkan apabila merekodkan 400.11 mata, jauh melepas MQS senior iaitu 360 mata untuk meraih pingat emas.
Perak dimenangi gandingan pelapis-podium Jared Aiden Haroid-Anilrian Normatrud (340.86 mata) manakala pasangan Megat Azim Hakimi-Asyraaf Haikal Asyrad membawa pulang gangsa dengan 244.14 mata.
Sementara itu, dalam kategori wanita pula, ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong bersama gandingannya Lee Yiat Qing menepati sasaran apabila berjaya melepasi MQS 270 mata dengan mengutip 281.61 mata untuk meraih emas.
Pasangan pelapis Eilisha Rania Abrar Raj-Nurul Farisya Alia Affendi membawa pulang pingat perak dengan 260.70 mata manakala Cecelia Olivia-Nur Aryna Balqis Afendi mengumpul 219.81 mata untuk gangsa.
MQS adalah penanda aras utama dalam menentukan atlet terjun yang layak mewakili negara di kejohanan antarabangsa, dengan cara setiap atlet perlu melepas had kelayakan minimum ditetapkan.
-- BERNAMA