AM

TIADA PERBINCANGAN MENGENAI PEMBUBARAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH - PM ANWAR

11/05/2025 03:04 PM

KOTA KINABALU, 11 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata soal pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman hari ini.

Anwar berkata keputusan mengenai pembubaran DUN Sabah terletak sepenuhnya kepada Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

“Perbincangan tertumpu kepada isu-isu berkaitan pembangunan Sabah dan usaha mengukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya kepada pemberita di Istana Seri Kinabalu hari ini.

Beliau berkata perbincangan itu menyentuh pelbagai sektor, termasuk minyak, dan mengambil kira input daripada pemimpin negeri, dengan tujuan menangani kebimbangan utama dan mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan.

Ini merupakan kunjungan hormat pertama Anwar ke atas Musa sejak pelantikannya sebagai Yang Dipertua Negeri.

Spekulasi berhubung kemungkinan pembubaran awal muncul susulan pertemuan antara Perdana Menteri dan Yang Dipertua Negeri Sabah hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan