Daripada Mohamad Harith Mohamad Nizar
TURIN (Itali), 13 Mei (Bernama) -- Pesawat Rondaan Maritim (MPA) pertama diperoleh kerajaan daripada syarikat aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan Itali, Leonardo dijangka diserahkan kepada Malaysia pada akhir 2026 diikuti pesawat kedua, tiga bulan selepas itu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dua pesawat itu merupakan sebahagian daripada perolehan bernilai hampir RM900 juta dimuktamadkan pada 2023 bagi memperkukuh keupayaan pertahanan dan pemantauan perairan negara.
“Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia memang perlu mempunyai aset dan peralatan terkini dengan kapal terbang tersebut akan melakukan kerja rondaan.
“Lebih penting, ia juga dilengkapi peralatan anti-kapal selam dan mampu bertindak dalam aktiviti berkaitan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke fasiliti syarikat itu di sini, pada Isnin.
Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Itali, San Marino dan Kosovo Datuk Zahid Rastam, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Goriman Khan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Mohd Yani Daud serta Pengarah Urusan Leonardo Aeronautics Division Stefano Bortoli.
Mohamed Khaled berkata struktur pesawat itu dibina di Toulouse, Perancis dan akan dipasang pelbagai sistem canggih termasuk keupayaan peperangan anti-permukaan dan anti-kapal selam sebelum diserahkan kepada Malaysia.
Beliau berkata perolehan itu adalah pelaburan strategik dan bakal memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau, khususnya di kawasan Laut China Selatan yang semakin kompleks.
“Kita tahu Laut China Selatan merupakan kawasan mempunyai cabaran tersendiri dengan konflik yang semakin meningkat, jadi semua ini (perolehan itu) akan membantu negara.
“Setakat ini kemajuan projek adalah melebihi 60 peratus dan berjalan mengikut jadual. Kita berpuas hati dengan perkembangan kerja dijalankan pihak Leonardo,” katanya.
Perolehan MPA merupakan perancangan perolehan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55) dengan perancangan untuk memperoleh enam MPA secara berfasa.
MPA yang bakal diterima oleh TUDM itu dinamakan sebagai P-72M dan ia berasaskan pesawat komersial ATR 72-600, yang penggunaannya amat meluas di serata dunia terutama di Asia Tenggara.
Fungsi utama P-72M ialah melaksanakan misi Peperangan Anti-Permukaan, Peperangan Anti-Kapal Selam dan juga Peperangan Elektronik.
Selain itu, fungsi sekunder P-72M ialah menjalankan misi mencari dan menyelamat, pengawasan zon maritim Malaysia, pengoperasian bersama unit ATM dan penguatkuasaan antara agensi kerajaan serta keselamatan lain.
-- BERNAMA