EKONOMI

SEKTOR PERKHIDMATAN MALAYSIA MENINGKAT ENAM 6 PERATUS PADA 2025

13/05/2025 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Sektor perkhidmatan Malaysia meningkat sebanyak 6.0 peratus dari tahun ke tahun pada suku pertama 2025 sehingga mencapai pendapatan RM630 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan ini telah dipacu oleh prestasi positif dalam semua segmen sektor perkhidmatan seperti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta segmen penginapan, sehingga merekodkan pengembangan sebanyak RM24.2 bilion atau 5.3 peratus, mencecah RM475.7 bilion.

"Pengembangan yang mantap ini telah didorong oleh perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi selain kerancakan dalam perjalanan domestik yang telah dipacu oleh acara bermusim seperti perayaan Tahun Baru Cina, persiapan untuk Ramadan dan Aidilfitri serta pembukaan sesi persekolahan tahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

"Selain itu, kenaikan 31.3 peratus dari tahun ke tahun dalam ketibaan antarabangsa, mencapai 6.7 juta dalam dua bulan pertama tahun ini, terus merangsang pertumbuhan tersebut," katanya melalui satu kenyataan hari ini. 

Mohd Uzir berkata prestasi sektor perkhidmatan itu disokong lagi oleh pertumbuhan yang ketara dalam segmen maklumat dan komunikasi serta segmen pengangkutan dan penyimpanan, yang berkembang sebanyak 5.9 peratus dari tahun ke tahun ​​untuk mencapai RM87.9 bilion pada suku pertama.

Beliau berkata subsektor maklumat dan komunikasi mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus, didorong oleh aktiviti telekomunikasi, yang menokok 3.8 peratus dan menyumbang 63.5 peratus kepada jumlah nilai subsektor.

"Trend pertumbuhan ini adalah selaras dengan peningkatan permintaan untuk sambungan digital dan perkhidmatan data, mencerminkan usaha digitalisasi yang berterusan di seluruh industri selain pergantungan yang lebih besar terhadap perkhidmatan telekomunikasi," katanya. 

Di samping itu, beliau memberitahu pendapatan e-dagang Malaysia bagi suku pertama telah  mencecah RM310.6 bilion, menandakan kenaikan 3.4 peratus dari tahun ke tahun selepas didorong oleh pertambahan 6.0 peratus dalam sektor perkhidmatan.

"Pertumbuhan ini menyerlahkan pengembangan e-dagang yang berterusan dalam menyokong output perkhidmatan dan aktiviti pengguna. 

"Jumlah orang yang terlibat dalam sektor ini adalah lebih kurang 4.5 juta, naik 1.9 peratus dari tahun ke tahun. Pertumbuhan ini diterajui oleh subsektor pengangkutan dan penyimpanan yang menyaksikan tambahan sebanyak 3.5 peratus, diikuti oleh subsektor perdagangan borong dan runcit yang melonjak sebanyak 2.4 peratus," katanya.

Sementara itu, jumlah gaji dan upah meningkat sebanyak 4.1 peratus dari tahun ke tahun sehingga mencatatkan RM33.6 bilion. Peningkatan ini disebabkan oleh perdagangan borong dan runcit serta subsektor pengangkutan dan penyimpanan yang masing-masing naik 3.9 peratus dan 4.8 peratus.

Kesimpulannya, perkembangan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi, berasaskan pengetahuan akan terus disangga oleh sektor perkhidmatan, yang kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan negara.

"Permintaan pengguna yang berdaya tahan dan usaha pendigitalan yang dipercepatkan, tumpuan strategik terhadap pembangunan pelancongan, inovasi teknologi dan fasilitasi perniagaan akan terus memainkan peranan penting dalam mengekalkan momentum pertumbuhan termasuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab ekonomi yang kompetitif dan berpandangan ke hadapan di rantau ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan