DUNIA

AS, ARAB SAUDI METERAI PERJANJIAN PERTAHANAN BERNILAI US$142 BILION

14/05/2025 01:42 AM

Daripada Amirudin Ahmad

RIYADH, 13 Mei (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi menandatangani perjanjian pertahanan bernilai hampir US$142 bilion pada Selasa, yang disifatkan Rumah Putih sebagai “perjanjian jualan pertahanan terbesar dalam sejarah”.

Menurut kenyataan di laman sesawang rasmi Rumah Putih, perjanjian itu menyasarkan untuk  membekalkan Arab Saudi dengan kelengkapan dan perkhidmatan peperangan canggih daripada lebih sedozen firma pertahanan AS.

Ia meliputi lima bidang utama iaitu pemodenan tentera udara dan keupayaan angkasa lepas, pertahanan udara dan peluru berpandu, keselamatan maritim dan pesisir pantai, keselamatan sempadan dan pemodenan pasukan darat, serta penaiktarafan sistem maklumat dan komunikasi.

“Pakej ini turut merangkumi latihan dan sokongan meluas bagi memperkukuh keupayaan angkatan bersenjata Arab Saudi, termasuk pemantapan akademi ketenteraan dan perkhidmatan perubatan tentera,” menurut kenyataan itu.

Rumah Putih menyatakan perjanjian ini mencerminkan pelaburan besar dalam pertahanan dan keselamatan serantau Arab Saudi yang berpaksikan sistem serta latihan Amerika.

Selain sektor pertahanan, Rumah Putih turut mengumumkan perancangan kerjasama dipertingkat dengan Arab Saudi dalam sektor kritikal seperti kesihatan, tenaga dan sains.

Ia termasuk usaha bersama dalam pembangunan infrastruktur tenaga, penerokaan sumber galian dan mineral, misi angkasa lepas bersama, serta Perjanjian Pengangkutan Udara moden bagi membolehkan perkhidmatan kargo terus antara kedua-dua negara.

Trump tiba di Riyadh awal pagi Selasa untuk memulakan lawatan empat hari ke Timur Tengah yang turut merangkumi Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Presiden AS itu dijadual menghadiri sidang kemuncak bersama pemimpin negara Teluk pada 14 Mei sebelum meneruskan lawatan ke Doha, Qatar pada hari yang sama dan ke Abu Dhabi, UAE pada 15 Mei.

Lawatan ini dilihat sebagai kesinambungan strategi penglibatan meluas diplomatik dan ekonomi beliau di rantau Teluk, seiring dengan lawatan sulung beliau ke luar negara pada 2017 yang turut bermula di Arab Saudi.

Arab Saudi merupakan antara rakan dagang terbesar AS di Timur Tengah, dengan pelaburan langsung negara itu di AS berjumlah US$9.5 bilion pada 2023, tertumpu dalam sektor pengangkutan, hartanah dan automotif.

Pada 2024, jumlah dagangan barangan antara AS dan Arab Saudi mencecah US$25.9 bilion, menurut Rumah Putih.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan