AM

PEMAIN SRG TERIMA PINGAT SEMPENA KEPUTERAAN SULTAN SELANGOR KE-79

13/05/2025 07:01 PM

SHAH ALAM, 13 Mei (Bernama) --  Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengurniakan Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan kepada 184 penerima dari daerah Petaling dan Klang termasuk tiga pemain Selangor Red Giants (SRG).

Pengurniaan adalah bersempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-79.

Pemain SRG, Hazziq Danish Mohamad Rizwan yang dikenali Stormie, Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys) dan Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhaimi (YumS) dikurniakan Pingat Kecemerlangan Sukan Selangor (P.K.S).

Istiadat berkenaan berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini selama dua hari bermula hari ini.  

Dalam istiadat itu, sebanyak 34 individu dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (P.P.C.), manakala 103 individu dikurnia Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) serta 10 penerima untuk Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S.).

SRG muncul juara kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 selepas menumbangkan pasukan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-3, sekali gus menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia bagi menjuarai aksi antarabangsa e-sukan. 

Pada kejohanan itu, pemain jungler SRG Muhammad Haqqullah dinobatkan sebagai pemain paling bernilai MSC MLBB 2024, yang menyaksikan mereka membawa pulang trofi serta wang tunai berjumlah USD1,000,000 (RM4,669,303.78).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan