KAMPAR, 14 Mei (Bernama) -- Cuaca redup mengiringi upacara persemadian anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dari Unit 5 Sungai Senam, Koperal Nurit Pandak, 34, yang terkorban dalam insiden kemalangan melibatkan sebuah trak FRU dengan lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampan, di Teluk Intan semalam.
Mendiang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Batu Berangkai, di sini, kira-kira 12.50 tengah hari tadi.
Upacara persemadian mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut dihadiri kira-kira 150 orang termasuk isteri mendiang, Jowissemborisxs Bah Johan, 36, bapa mendiang, Pandak Rompan, 71, dan ibu mendiang, Ngah Libah Tunkut, 68, serta sanak saudara terdekat.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir pada upacara berkenaan ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Kampar DSP Mohd Aster Mohamad.
Mendiang Nurit yang telah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai anggota PDRM dilaporkan maut bersama lapan lagi anggota FRU dari Unit 5 Ipoh dalam nahas ngeri pada 8.54 pagi.
Kenderaan membawa 18 anggota FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas penugasan perayaan Chitra Pournami yang disambut masyarakat Hindu di Menara Condong Teluk Intan, 12 Mei lepas.
-- BERNAMA