JOHOR BAHRU, 14 Mei (Bernama) -- Lebih 9,000 perwakilan dijangka terlibat dalam pengundian secara fizikal pemilihan kepimpinan pusat PKR untuk sesi 2025-2028 di sini, minggu hadapan.
Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata lebih 20,000 perwakilan pula akan melakukan pengundian secara dalam talian pada pemilihan yang ditetapkan 23 Mei ini.
"Perwakilan secara fizikal kali ini adalah tinggi, maka semua perwakilan yang layak hadir ini akan mengundi fizikal pada hari berkenaan," katanya pada sidang media selepas melawat sebuah syarikat pembungkusan minyak masak subsidi, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah perwakilan yang akan terlibat mengundi bagi pemilihan kepimpinan pusat.
Fuziah berkata pemilihan kepimpinan pusat melibatkan kedua-dua kaedah undian iaitu secara fizikal dan dalam talian oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Wanita Pusat di Hotel Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay di sini.
Beliau dalam pada itu yakin pemilihan berkenaan akan berjalan dengan baik dan lancar memandangkan PKR pada pemilihan sebelum ini melantik pihak ketiga untuk membuat audit sistem pemilihan yang dilaksanakan.
Fuziah berkata PKR sentiasa memastikan sistem pemilihan yang dijalankan mengikut standard atau piawaian antarabangsa.
"Kita telah melantik pihak audit dari luar negara (sebelum ini), audit daripada segi dalaman dan sebagainya dan mereka menunjukkan bahawa ia mengikut standard antarabangsa sebab kita menggunakan teknologi blok rantai," katanya.
-- BERNAMA