MAKKAH, 14 Mei (Bernama-SPA) -- Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah menaikkan bahagian bawah Kiswah, kelambu hitam yang menutupi Kaabah sehingga tiga meter sebagai persiapan menghadapi musim Haji 1446 Hijrah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Bahagian binaan yang terdedah kemudiannya ditutup dengan kain kapas putih selebar dua meter di semua sisi.
Proses itu dilaksanakan oleh pasukan khusus melalui prosedur yang teliti dengan penuh penghormatan terhadap kesucian tapak serta mematuhi piawaian keselamatan dan profesionalisme yang tertinggi.
Prosedur tahunan itu bertujuan memelihara Kiswah dan melindunginya daripada sentuhan atau kerosakan, khususnya semasa tawaf.
Upacara tahunan itu mencerminkan tahap pengurusan yang teliti dan persiapan menyeluruh bagi menerima ketibaan jemaah haji.
-- BERNAMA-SPA