EKONOMI

SUNWAY REIT RAIH UNTUNG BERSIH LEBIH TINGGI SEBANYAK RM104.32 JUTA PADA SUKU PERTAMA

14/05/2025 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Sunway Real Estate Investment Trust (REIT) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM104.32 juta pada suku pertama 2025 berakhir pada 31 Mac 2025 daripada RM86.98 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata hasil bagi suku itu meningkat kepada RM218.86 juta daripada RM178.59 juta pada suku yang sama tahun lepas didorong terutamanya daripada sumbangan pendapatan suku penuh daripada hartanah yang baru diambil alih pada 2024.

Bagaimanapun peningkatan ini sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan faedah yang lebih rendah sebanyak RM3.3 juta berikutan baki tunai yang berkurangan serta kos kewangan yang lebih tinggi sebanyak RM4.9 juta disebabkan peningkatan pinjaman.

Mengenai prospek, Sunway REIT berkata walaupun prestasi suku pertama 2025 kekal positif bagi kumpulan itu, ia akan kekal berwaspada pada masa akan datang berikutan gangguan sekatan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, sehingga membawa peningkatan risiko tekanan inflasi, sentimen perniagaan yang lemah dan penurunan keyakinan pengguna.

“Kami akan terus memantau pasaran dengan teliti dan memperhebat usaha mempelbagaikan gabungan penyewa kami untuk melibatkan lebih banyak jenama serantau dan tempatan, dan meningkatkan tumpuan terhadap pelancong domestik dan serantau.

"Kami yakin peluang pengambilalihan akan terus kekal dan kumpulan bersedia kepada sebarang pengambilalihan yang bermanfaat untuk mempelbagaikan dan memperluas gabungan portfolio kami terutama dalam sektor runcit, logistik dan perkhidmatan," kata syarikat berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan