KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengambil bahagian dalam penerokaan medan gas asli luar pesisir di Turkmenistan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas mengumumkan bahawa ia telah menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) baharu dengan syarikat tenaga yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), XRG, serta syarikat minyak dan gas Turkmenistan, iaitu State Enterprise Hazarnebit dan State Concern Turkmennebit bagi medan gas dan kondensat Blok I di Turkmenistan.
Di bawah terma PSC itu, Petronas akan menguasai 57 peratus kepentingan sebagai pengendali, bekerjasama dengan XRG yang memegang 38 peratus, manakala State Enterprise Hazarnebit memiliki baki lima peratus.
Sebagai sebahagian daripada urus niaga berkenaan, satu perjanjian penjualan gas jangka panjang turut ditandatangani dengan syarikat gas nasional Turkmenistan, State Concern Turkmengas.
Terletak di Laut Caspian, Blok I kini menghasilkan kira-kira 400 juta kaki padu gas asli setiap hari.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas Mohd Jukris Abdul Wahab berkata sebagai pengendali antarabangsa pertama dalam sektor tenaga Turkmenistan hampir tiga dekad lalu, pencapaian ini mengukuhkan lagi kehadiran dan menandakan pengembangan berterusan syarikat itu dalam sektor huluan.
“Kami berbesar hati dapat menyumbang kepada kemajuan berterusan industri tenaga negara dan kekal komited untuk memupuk perkongsian jangka panjang dengan XRG, Hazarnebit, Turkmennebit dan Turkmengas,” katanya.
Sementara itu, Presiden Gas Antarabangsa XRG Mohamed Al Aryani berkata dengan memperdalam perkongsian mereka bersama Petronas, Turkmennebit dan Turkmengas, mereka sedang memajukan keselamatan tenaga dan pembangunan ekonomi sambil mencipta nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan.
"Perjanjian ini menandakan peristiwa penting dalam strategi pertumbuhan global XRG dan membina hubungan yang semakin kukuh antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkmenistan.
"Ia juga mengukuhkan kehadiran XRG di rantau Caspian, memperluas asas sumber kami dan mencerminkan cita-cita kami untuk menjadi pembekal tenaga bersih yang boleh dipercayai bagi memenuhi keperluan dunia yang semakin berkembang," tambahnya.
-- BERNAMA