AM

SELANGOR SASAR KADAR PENGANGGURAN 2.0 PERATUS MENJELANG AKHIR 2025

15/05/2025 04:06 PM

SHAH ALAM, 15 Mei (Bernama) -- Kerajaan Selangor menyasarkan penurunan kadar pengangguran negeri kepada 2.0 peratus menjelang akhir tahun 2025, berbanding 2.2 peratus yang direkodkan pada suku pertama tahun ini.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu berkata pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan bagi merealisasikan sasaran itu, termasuk penyediaan peluang pekerjaan serta pembangunan infrastruktur untuk menarik dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran.

“Ketika ini, kerajaan negeri giat menganjurkan jelajah karnival kerjaya sehingga ke peringkat daerah bagi membantu pencari kerja.

“Selain itu, kita juga sedang menyusun pertemuan bersama beberapa syarikat besar termasuk syarikat multinasional (MNC) bagi menyediakan peluang pekerjaan berimpak tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Pekerja peringkat Negeri Selangor 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Papparaidu berkata lebih 3,000 pencari kerja telah dibantu pada tahun lalu susulan penganjuran karnival pencarian kerja yang dianjurkan di setiap daerah.  

Pada 9 Mei lalu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata pasaran buruh negara terus mencatat kemajuan stabil pada suku pertama 2025, dengan peningkatan bilangan penduduk bekerja dan kadar penyertaan tenaga buruh, manakala kadar pengangguran menurun.

Mohd Uzir berkata Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kadar pengangguran terendah iaitu 1.8 peratus diikuti Melaka dan Pahang (masing-masing 1.9 peratus) serta Selangor (2.2 peratus).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan