EKONOMI

INDUSTRI JIMAT SEBANYAK RM100 JUTA MENERUSI PROGRAM AMNESTY PERKESO - MEF

17/05/2025 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Industri mendapat penjimatan sebanyak RM100 juta melalui pengecualian kompaun dan caj pembayaran lewat di bawah Program Amnesty Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari 1 hingga 30 April 2025, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Program berkenaan dilanjutkan kepada 31 Mei, 2025, membolehkan majikan menyelesaikan caruman Perkeso tertunggak tanpa dikenakan sebarang penalti, kompaun atau caj penalti lewat.

MEF juga mendedahkan bahawa 220,000 majikan tampil secara sukarela untuk menetapkan caruman Perkeso mereka pada April manakala sejuta pekerja kini dilindungi di bawah skim Perkeso.

Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata keputusan ini jelas menunjukkan komitmen majikan apabila diberi peluang dan sokongan untuk mematuhi undang-undang.

“Pelanjutan program itu adalah inisiatif yang dipuji oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Perkeso, menunjukkan pendekatan pragmatik dan belas kasihan bagi menggalakkan pematuhan serta mengukuhkan rangka kerja perlindungan keselamatan sosial Malaysia.

"MEF memuji kerajaan kerana memberi peluang kedua kepada majikan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa rasa bimbang terhadap caj penalti," katanya dalam satu kenyataan.

Syed Hussain juga menggesa semua majikan untuk mengambil kesempatan daripada tempoh lanjutan program tersebut untuk mendaftarkan pekerja mereka dengan Perkeso sebelum 31 Mei 2025, dan memastikan pematuhan undang-undang perlindungan buruh dan keselamatan sosial.

Beliau juga mengingatkan semua majikan bahawa melindungi pekerja bukan sekadar kewajipan undang-undang tetapi tanggungjawab bersama dalam membina tenaga kerja yang berdaya tahan.

"Majikan yang masih belum mematuhi sepenuhnya caruman Perkeso harus berbuat demikian segera untuk mengelakkan risiko masa depan kerana penguatkuasaan ketat akan disambung semula selepas tamat tempoh program ini termasuk pendakwaan audit dan penalti.

“Sebagai suara majikan yang bertanggungjawab di Malaysia, MEF kekal menyokong penuh usaha kerajaan untuk memastikan semua pekerja mendapat perlindungan keselamatan sosial negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan