KULAI, 17 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan 32,436 kandungan berkaitan penipuan dalam talian dari Januari hingga April lepas melibatkan nilai kerugian hampir RM800 juta.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata trend berkenaan membimbangkan kerana jumlah kandungan yang diturunkan itu hampir menyamai separuh daripada keseluruhan kandungan yang diturunkan sepanjang 2024 iaitu sebanyak 63,652.
"Berdasarkan angka dibekalkan Polis Diraja Malaysia, kerugian yang telah diakibatkan oleh penipuan dalam talian ialah RM799 juta. Jadi, kita perlulah melipatgandakan usaha kita untuk mendidik masyarakat, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Komunikasi Komuniti Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Suwadi Guliling dan Ahli Dewan Undangan Negeri Senai Wong Bor Yang.
Beliau berkata MCMC juga telah menggerakkan Kempen Internet Selamat (KIS) dan mula melaksanakan program kesedaran siber di sembilan sekolah rendah di seluruh negara termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kulai Besar dan Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Permai, di sini.
"Kita berhasrat memperluas program ini ke sekolah menengah dan universiti awam. Kita juga menyeru pihak sekolah dan institusi pendidikan untuk bekerjasama dalam menyokong usaha pendidikan keselamatan dalam talian," katanya.
Mengenai program NANBA yang diperkenalkan J-KOM, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata inisiatif itu menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti India, khususnya golongan belia.
Beliau berkata NANBA yang dilaksanakan pada tahun ini menumpukan kepada usaha untuk memperkasakan komuniti India melalui pelbagai pengisian dan penyampaian maklumat berkaitan dasar kerajaan.
Daerah Kulai, katanya menjadi lokasi pertama penganjuran program itu dan akan diperluas ke beberapa lokasi di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
"Melalui program NANBA, golongan belia diberi pendedahan tentang pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan MADANI yang sedang dan akan dilaksanakan, selain menggalakkan penyertaan aktif dalam pembangunan negara,” katanya.
Program NANBA yang berlangsung hari ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya Jualan Rahmah, pameran daripada agensi kerajaan dan swasta serta pertandingan mewarna dan melukis poster.
-- BERNAMA