EKONOMI

MALAYSIA SASAR JUALAN RM3 JUTA DARIPADA FESTIVAL RASA MALAYSIA SELAMA TIGA HARI DI BEIJING

18/05/2025 12:18 PM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

BEIJING, 18 Mei (Bernama) -- Festival Rasa Malaysia yang sedang berlangsung di Beijing dijangka menjana tiga hingga lima juta yuan (kira-kira RM3 juta) dalam bentuk hasil jualan dengan lebih daripada 50 syarikat Malaysia mempamerkan juadah tempatan, buah-buahan tropika dan kraftangan budaya.

Festival berkenaan dianjurkan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China (MAYCHAM) dengan sokongan Kedutaan Malaysia di China untuk tahun ketiga berturut-turut.

Acara makanan serta kebudayaan selama tiga hari itu berlangsung dari 16 hingga 18 Mei ini dan ia menjadi platform utama bagi Malaysia untuk berhubung dengan pengguna selain komuniti perniagaan di China.

Pengerusi MAYCHAM Loh Wee Keng berkata setiap peserta pameran mampu memperoleh 20,000 hingga 30,000 yuan sehari, bergantung kepada produk yang ditawarkan.

“Dengan jangkaan lebih daripada 50 gerai dan jumlah pengunjung terutamanya pada hujung minggu, jumlah hasil jualan boleh mencecah tiga hingga lima juta yuan dalam tempoh tiga hari,” katanya ketika ditemui di tapak festival itu di Subdaerah Majiapu, Daerah Fengtai di sini.

Tumpuan utama festival pada tahun ini iaitu durian, khususnya jenis Musang King dan Black Thorn yang menjadi kebanggaan Malaysia di samping hidangan tempatan popular seperti nasi lemak, roti canai, karipap dan teh tarik.

Pilihan kegemaran pengunjung yang lain termasuk pencuci mulut dan kuih-muih Malaysia serta produk gaya hidup seperti kasut batik selain snek berasaskan durian.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan budaya secara langsung termasuk tarian joget dan tarian singa tradisional Cina sekali gus menyemarakkan lagi semangat pertukaran budaya antara dua negara.

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad yang merasmikan majlis pembukaan festival itu berkata acara ini mencerminkan pengukuhan hubungan di antara rakyat dengan pertumbuhan hubungan perdagangan kedua-dua negara.

“Merupakan satu kegembiraan bagi saya untuk melihat khazanah negara kita seperti durian yang menjadi tumpuan utama di sini iaitu di Fengtai.

“Pada 2024 sahaja, eksport durian Malaysia ke China mencapai 40.17 juta yuan,” katanya.

Beliau juga berkata China kekal menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.

Menurutnya, China menjadi pasaran komoditi pertanian kedua terbesar Malaysia pada 2023 dengan jumlah eksport sebanyak 38.06 bilion yuan.

Sementara itu, Setiausaha Pertama (Pertanian) Kedutaan Malaysia, Siti Zurianah Ismail berkata Malaysia membawa lebih 150 kilogram (kg) durian Musang King dan Black Thorn (60kg) bersama-sama dengan nanas (120kg) dan manggis (80kg) untuk dipamerkan di festival berkenaan.

“Kali ini, kami tidak menjual. Kami di sini untuk mempromosikan, mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna China mengenai keunikan buah-buahan tropika Malaysia terutamanya bagaimana durian kami berbeza daripada durian dari Thailand dan Vietnam,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Kedutaan, Nurul Huda Ab Rahim berkata Persatuan Wanita Malaysia secara aktif menyokong Festival Rasa Malaysia sejak pertama kali penganjurannya.

“Tahun ini, kami membawa lebih banyak nasi lemak dan juga paru goreng yang jarang ditemukan di China. Hidangan yang paling popular setakat ini adalah karipap. Kami juga mengadakan masakan secara langsung untuk berinteraksi dengan pengunjung secara terus,” katanya.

Festival Rasa Malaysia dianjurkan bersama MAYCHAM, Kerajaan Daerah Fengtai dan Pejabat Subdaerah Majiapu.

Ia dijangka menarik lebih daripada 10,000 pengunjung sepanjang hujung minggu ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan