BUTTERWORTH, 18 Mei (Bernama) -- Ibu bapa daripada semua kaum diseru untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke Tabika Perpaduan bagi memupuk perpaduan dan integrasi nasional sejak peringkat awal kanak-kanak.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Che Roslan Che Daud berkata ini kerana bilangan kanak-kanak Melayu yang mendaftar di Tabika Perpaduan jauh lebih tinggi berbanding kaum lain, walaupun institusi itu sebenarnya terbuka kepada semua bangsa.
Beliau berkata, berdasarkan statistik sehingga Februari lepas, seramai 26,835 atau 76.89 peratus daripada keseluruhan 34,889 murid Tabika Perpaduan di seluruh negara terdiri daripada kaum Melayu, diikuti 1,939 murid India (5.6 peratus), 456 murid Cina (1.3 peratus) dan selebihnya daripada lain-lain kaum dan etnik.
“Walaupun ada penyertaan daripada pelbagai kaum, statistik jelas menunjukkan penyertaan kaum Melayu paling tinggi berbanding kaum-kaum lain.
“Sebab itu kita galakkan semua kaum turut serta bagi memperkukuh integrasi sejak usia awal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang 2025 serta Sambutan Hari Guru Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Che Roslan berkata elemen yang membezakan Tabika Perpaduan daripada prasekolah lain ialah penekanan terhadap nilai perpaduan, Rukun Negara serta interaksi antara kaum yang diterapkan secara berstruktur dalam aktiviti harian murid.
Selain mengikuti Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) Kementerian Pendidikan (KPM), murid turut didedahkan dengan nilai hormat-menghormati antara kaum agar lebih bersedia untuk bergaul apabila melangkah ke sekolah kebangsaan dengan kefahaman asas tentang keharmonian dan identiti nasional.
Beliau berkata setakat ini terdapat 1,781 Tabika Perpaduan dan 41 Taska Perpaduan di seluruh negara, dan JPNIN kini bekerjasama dengan KPM untuk memperluaskan penggunaan modul perpaduan itu ke prasekolah berdaftar lain.
Che Roslan turut mengakui wujud persepsi dalam kalangan masyarakat bukan Melayu bahawa Tabika Perpaduan hanya untuk kaum Melayu.
“Itu tidak benar. Nama ‘Tabika Perpaduan’ itu sendiri menggambarkan keterangkuman. Ia dibuka kepada semua bangsa. Kita mahu ubah persepsi ini dan perbetulkan tanggapan bahawa ini adalah institusi untuk satu kaum sahaja,” katanya.
Sehubungan itu, bagi meningkatkan penyertaan kaum lain, JPNIN akan memperhebat kempen penerangan secara menyeluruh selain menggalakkan pegawai negeri mengambil kira komposisi etnik dalam pengoperasian Tabika Perpaduan supaya dapat mengimbangi peratusan murid dalam kalangan semua kaum.
-- BERNAMA